Iklan

Iklan

Gambar-gambar

Monday, 18 June 2012

Presiden PAS : Haji dan Politik


Oleh :

Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang
Presiden PAS

Saya tidak menyangka bahawa tulisan saya yang menyebut haji dan pilihan raya secara sepintas lalu menjadi polemik hangat beberapa hari. Saya hanya menyebut bahawa masyarakat Islam kebanyakannya tidak tahu perbezaan di antara wajib mudoyyak dan wajib muwassa' yang tidak ada dalam pelajaran fardu ain.

Apabila Ketua Penerangan PAS, Ustaz Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man membuat kenyataan susulan, beliau menjadi sasaran serangan media Umno yang berpelurukan kenyataan berbagai pihak. Maka Umno tidak mengambil kira musim haji atau musim puasa dan sebagainya, kerana Umno tidak menjadikan Islam itu dasar panduan perjuangannya. Tuan Haji Subky Latif pernah menjadi sasarannya apabila menyentuh perkara ini ketika menjadi Ketua Penerangan PAS Pusat.

Media jurubicara Umno mendedahkan kebebalan mereka berkenaan hukum Islam dan mendedahkan kejahilan pemimpin utama mereka sendiri, seterusnya mendedahkan ada di kalangan tokoh agama termasuk berjawatan mufti, bahawa roh dan jasadnya bersama Umno. Paling malang dan menjadi lebai malang ialah kalangan yang jahilnya murakkab, tidak mengenali ilmu usul feqah dan maqasid syariah.

PAS tetap berpegang kepada ajaran Islam yang tidak memisahkan politik daripada agama Islam, walaupun politik tidak termasuk dalam rukun Islam seperti ibadah haji dan tidak termasuk rukun iman. Begitulah juga wajibnya menutup aurat dan menjelaskan hutang sesama manusia, perkara ini tetap wajib ditunaikan serta-merta, walaupun tidak dimasukkan secara sebutan dalam rukun Islam. Para ulama menegaskan bahawa perkara-perkara yang tidak disebut dalam rukun itu, tetap termasuk dalam rukun pertama dua kalimah syahadah dan tidak boleh dipisahkan daripada mana-mana rukun iman.

Dalam perkara wajib, para ulama usul fiqh bukan sahaja membahagikan kepada fardu ain dan fardu kifayah. Perkara wajib juga dibahagikan dari segi kesesuaian kadar waktu menunaikannya, sama ada wajib disegerakan, tidak boleh ditangguh, yang dinamakan wajib mudoyyaq seperti puasa Ramadhan dan sembahyang di akhir waktu. Ada juga wajib yang boleh ditangguh kerana luas waktunya dan tidak berdosa menangguhkannya seperti haji dan sembahyang wajib yang lama masanya di awal waktu. Perkara ini dinamakan wajib muwassa'.

Apabila bertembung dua perkara yang sama wajibnya, maka didahulukan kepada menunaikan wajib mudoyyaq seperti wanita kematian suami yang wajib menunaikan idah berada di rumah dalam masa beberapa bulan yang ditetapkan oleh Al Quran, dalam masa yang sama dia berharta dan mampu menunaikan haji kali pertama yang wajib dan menjadi rukun Islam. Hukumnya hendaklah menunaikan idahnya terlebih dahulu, wajib berada di rumah kerana wajibnya mudoyyaq dan menangguhkan haji kerana wajibnya muwassa'. Walaupun perkara idah tidak termasuk dalam rukun Islam. Begitu juga dengan seseorang yang cukup duitnya menunaikan haji, dalam masa yang sama dia berhutang dan diminta membayar segera, maka hendaklah membayar hutangnya terlebih dahulu atau keluarga wajib diberi nafkah, maka tunaikan nafkah dengan cukup terlebih diutamakan walaupun perkara-perkara tersebut tidak termasuk dalam rukun Islam.

Rasulullah SAW menangguhkan ibadat hajinya walaupun diwajibkan lebih awal, ada kalangan ulama yang menyatakan sejak zaman Nabi Adam. Ada yang menyatakan sejak zaman Nabi Ibrahim dan ada yang menyatakan di tahun ketujuh hijrah. Rasulullah SAW membebaskan Makkah (Fathul Makkah) daripada Jahiliyyah terlebih dahulu daripada menunaikan haji dan menghadapi qabilah Hawazin dalam peperangan Hunain. Walaupun banyak harta dan bekalan berada dalam tangan melimpah ruah dan sudah masuk bulan Syawal (bulan haji), namun terus pulang ke Madinah tanpa menunaikan haji.

Rasulullah SAW menugaskan sahabatnya Abu Bakar R.A supaya memimpin umat Islam menunaikan haji pada tahun kesembilan hijrah. Adapun Rasulullah SAW menangguhkan haji sehingga tahun kesepuluh hijrah, sebelum sedikit kewafatan baginda. Para ulama menegaskan bahawa wajib haji adalah muwassa', boleh ditangguh dan Rasulullah SAW mendahulukan urusan politik negaranya dengan menerima rombongan yang datang menyerah diri masuk Islam atau sedia berdamai.

Dalam peristiwa Hudaibiyah pula, Rasulullah dan para sahabat telah memakai pakaian ihram bagi menunaikan umrah. Tiba-tiba dihalang memasuki Makkah dan berakhir dengan perjanjian Hudaibiyah yang salah satu syaratnya menangguhkan umrah. Maka ditangguhkan umrah dan dibayar dam(denda) tanpa menunaikan umrah pada tahun tersebut. Umrah ditangguh kerana perjanjian Hudaibiyah memberi kemenangan politik yang tidak boleh ditangguhkan.

Kepada PAS, pilihanraya adalah amalan politik yang menjadi hak memilih pemimpin dan kerajaan. Politik adalah sebahagian daripada ajaran Islam, walaupun pilihanraya itu dikatakan asalnya dari Barat. Passport dan visa haji juga berasal daripada Barat, kedua-duanya tidak termasuk dalam syarat dan rukun haji. Para ulama usul Fiqh menetapkan kaedah bahawa perkara yang menjadi halangan menunaikan yang wajib kalau tidak melakukannya menjadi wajib juga. Begitulah pilihanraya adalah cara memilih pemimpin dan kerajaan yang menjadi perkara wajib mengikut semua mazhab Islam dengan nas dan ijmak, kecuali mazhab yang sesat. Al Quran menyebut ayat-ayat yang banyak dalam beberapa surah menunjukkan memilih pemimpin dan kerajaan adalah perkara yang akan dihisab pada hari qiamat nanti. Amaran ini berulang kali lebih banyak daripada ayat haji dan umrah.

PAS tetap mendidik ahli dan penyokongnya bahawa politik tidak boleh dipisahkan daripada agama Islam, laksana tidak boleh dipisahkan kepala dengan badan. Imam Al Ghazali seorang tokoh ulama tasawuf juga menegaskan, "agama adalah asas, kuasa pemerintahan (politik) adalah pengawas. Kalau tidak ada asas runtuh, kalau tidak ada pengawas, hilang tercicir". Maka banyak hukum-hakam Islam dihilangkan kerana politik Islam ditinggalkan. Almarhum Syed Alawi Al Haddad, Mufti Kerajaan Johor ditahun 50-an menyatakan dalam fatwanya yang diterbitkan berkenaan kewajipan pilihanraya dan parti mana yang wajib dipilih. Kepada imam-iman yang masih kuat menyokong Umno di Johor, sila cari buku fatwa ini.

PAS yang bersama Pakatan Rakyat, sekiranya diberi kuasa memerintah negara tidak mengizinkan musim haji menafikan hak rakyat menunaikan kewajipan politik ini tanpa mengira menang atau kalah, kerana hak politik adalah amanah besar dalam ajaran Islam. Rasulullah SAW menegaskan bahawa menghilangkan amanah ini menjadi salah satu sebab berlakunya kiamat yang menamatkan alam dunia dengan kehancurannya.

Akhirnya percayalah bahawa diam lebih baik daripada bercakap kejahilan, kerana bercakap dalam perkara yang tidak diketahui mendedahkan kebodohan diri sendiri. Beginilah jadinya apabila lesen memandu dijual, boleh membawa kemalangan. Kalau tauliah ilmu juga boleh dijual beli dengan harta dan pangkat, boleh menyesatkan orang ramai. Namun cahaya ilmu Islam pasti bersuluh dan dipelihara Allah. Sesuapa yang mengkhianati ilmu Islam pasti tersungkur akhirnya.

Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang
Presiden PAS

Ulamak Anggap Politik Perkara Duniawi Dibidas

Kuala Lumpur : Kenyataan pihak-pihak tertentu bahawa isu politik merupakan perkara duniawi adalah kenyataan tidak berasas dan tidak berpandukan syarak.

Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS Pusat, Ustaz Nik Zawawi Salleh menegaskan, kenyataan itu juga lebih kepada menjaga kepentingan pihak tertentu dan tidak menggambarkan kenyataan berasaskan Al-Quran, Sunnah, Ijmak dan Qias.



Beliau menjelaskan, ibadat haji adalah salah satu kefarduan dalam Islam sebagaimana perjuangan Islam yang juga merupakan suatu kefarduan.

Kedua-dua ini, merupakan perkara amat besar yang dilihat daripada ayat al-Quran, ayat yang menyentuh perjuangan Islam yang mencakupi sebahagian besar al-Quran.

"Isu perjuangan Islam dan isu untuk menegakkan sebuah negara Islam serta melaksanakan perlembagaan Islam dalam negara merupakan isu pokok dan isu dasar dalam Islam"

Jelasnya, kenyataan yang dikeluarkan Ketua Penerangan PAS Pusat, Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man disokong Dewan Ulamak PAS Pusat kerana apa yang ditegaskan PAS adalah penangguhan ibadat Haji kerana berhadapan dengan pilihanraya dan bukan membatalkannya.

"Dalam isu ini, PAS minta dua keadaan iaitu Perdana Menteri mengistiharkan Pilihanraya tidak dibuat dalam tempoh musim haji. Itu adalah cara yang terbaik"

"Selain itu, jika Perdana Menteri tidak boleh mengistiharkan pilihanraya,PAS minta penyokong PAS supaya menangguhkan ibadat haji daripada tahun ini kepada tahun hadapan.

"Apabila kita menangguhkannya kepada tahun hadapan, kita akan memperolehi dua perkara iaitu kita boleh menyempurnakan hak memilih pemimpin dan pada tahun hadapan kita boleh menunaikan ibadat haji,"katanya.

Ustaz Nik Zawawi menjelaskan, jika seseorang menunaikan ibadat haji dengan meninggalkan urusan perjuangan Islam, ia tidak bertepatan dengan kehendak syarak dan dengan feqh awlawiyyat itu sendiri.

Dipetik dari Harakah

Tahniah Buat Rakyat Perak Yang Menjayakan Himpunan Hijau 16 Jun


Bagan Serai: Himpunan Hijau Ke Putrajaya peringkat Negeri Perak yang diadakan berjaya telah mencapai sasaran yang telah ditetapkan.

Ianya memperlihatkan rekod kehadiran ahli dan penyokong PAS cukup memberansangkan bermula seawal program sehingga kemuncak pada ceramah sebelah malamnya.

Program bermula dengan himpunan 10 ribu pesawah pada paginya yang turut dihadiri oleh Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat, kemudian disambung dengan konvoi motosikal 3000 anak muda sempena himpunan hijau ini sebelum disambung sebelah petangnya dengan program x-pressi anak muda yang dikendalikan Dewan Pemuda PAS Perak.

Kemuncak program pada malamnya iaitu program munajat dan ceramah oleh pimpinan PAS khususnya mendengar amanat Pesuruhjaya PAS Perak dan Mursyidul Am PAS yang menyaksikan lebih 20 000 orang yang hadir.

Di samping itu penyerahan borang keahlian PAS dari beberapa individu yang pernah memegang jawatan tinggi dalam kerajaan juga turut diadakan.

Pesuruhjaya PAS Negeri Perak, Ustaz Abu Bakar Hussian berkata, sasaran kehadiran ahli dan penyokong PAS semalam sangat memberangsangkan.

Sambutan malam tadi ujarnya sesuatu perkembangan yang sangat positif buat politik negeri Perak apatah lagi rata-rata mereka yang hadir adalah golongan muda.

"Masyarakat pelbagai kaum juga cukup selesa dengan program kita sekarang. Ia mengambarkan PAS diterima oleh semua kaum", ujar beliau lagi.

Wednesday, 13 June 2012

Himpunan Hijau 16 Jun Di Bagan Serai : Wawancara Bersama Pesuruhjaya PAS Perak



Wawancara Himpunan Hijau Ke Putrajaya Peringkat Negeri Perak bersama Ustaz Abu Bakar Hussian (Pesuruhjaya PAS Perak)

Wartawan : Assalamualaikum Ustaz

Ustaz Abu Bakar : Waalaikumsalam WarahmatuLlahi Wabarakatuh

Wartawan : Berikutan Himpunan Hijau yang akan diadakan di Masjid Tinggi Bagan Serai pada 16 Jun yang jatuh pada hari sabtu ini, bolehkah ustaz ceritakan sedikit sebanyak berkenaan objektif pelaksanaannya?

Ustaz Abu Bakar : Himpunan Hijau yang diadakan 16 Jun ini cuba membawa satu persepsi kepada masyarakat umum tentang kesempurnaan Islam yang dibawa oleh PAS, dan memberi kefahaman yang jelas tentang matlamat sebenar mengapa PAS dan Pakatan Rakyat meletakkan sasaran untuk ke Putrajaya selepas PRU 13 ini.

Wartawan : Bolehkah Ustaz huraikan serba sedikit berkenaan matlamat ke Putrajaya dan kesempurnaan Islam yang cuba diterapkan oleh PAS

Ustaz Abu Bakar : Perkara pertama yang perlu kita ketahui, dasar perjuangan PAS adalah Islam dan PAS akan memelihara keadilan sejagat seluruh bangsa dan kaum yang ada di Malaysia. Selain itu, PAS berusaha sedaya upaya untuk memahamkan semua lapisan masyarakat tentang kesempurnaan Islam, yang merangkumi sistem pendidikan, ketenteraan, politik,ekonomi, hiburan, cara pakaian, adat, tatasusila dan banyak lagi. Dakwah yang dipersembahkan oleh PAS berbentuk mesra terhadap semua lapisan, termasuk golongan muda, kakitangan kerajaan, atlit sukan, artis hiburan, pakar akademik dan banyak lagi, termasuk golongan non-muslim bagi memahami erti sebenar kehidupan yang disusun oleh Allah yang menciptakan semua makhluk.

Manakala objektif menuju ke putrajaya adalah satu hala tuju bagi mendapatkan pemerintahan Malaysia, untuk memastikan pemerintahan Malaysia berteraskan Islam yang sebenar. Kita melihat selama 50 tahun pemerintahan Barisan Nasional, kerajaan Barisan Nasional telah merosakkan kefahaman Islam di dalam minda masyarakat dengan begitu teruk. Antaranya memisahkan politik daripada Islam, sedangkan Islam itu melengkapi semua elemen termasuk politik. Apabila politik dipisahkan daripada Islam, maka kita akan lihat kecelaruan pemerintahan Barisan Nasional sepertimana yang berlaku pada hari ini. Alhamdulillah, sejak kebelakangan ini kita mendapati sambutan daripada pelbagai lapis masyarakat yang sudah pun mengenali Islam, hasil daripada usaha yang PAS lakukan selama ini, dan bantuan daripada Allah SWT sendiri.

Wartawan : Apakah aktiviti yang diadakan di sepanjang Himpunan Hijau di Bagan Serai ini?

Ustaz Abu Bakar : Antara aktiviti yang menarik ialah konvoi motosikal dan kereta anak muda bersama Tuan Guru Nik Abdul Aziz, persembahan artis terkenal tanah air, pidato anak muda, ikrar rakyat memenagkan PAS dalam PRU-13 ini serta amanat dari Mursyidul Am PAS.

Wartawan : Boleh Ustaz maklumkan apakah program kemuncak dalam himpunan ini?

Ustaz Abu Bakar: Untuk makluman semua, program kemuncak dalam himpunan ini ialah kita akan umumkan beberapa bekas pegawai tinggi kerajaan dan aktivis tegar UMNO menyerahkan borang keahlian menjadi ahli PAS kepada Tuan Guru Nik Abdul Aziz ( Mursyidul Am PAS ).

Wartawan : Baik, terima kasih Ustaz atas kesudian untuk ditemubual. Assalamualaikum.

Ustaz Abu Bakar : Waalaikumsalam warahmatuLlahi wabarakatuh.

Tuesday, 12 June 2012

Orang Melayu Bersatu Tolak Rasuah Pemimpin UMNO


IPOH, Pesuruhjaya PAS Perak, Ustaz Abu Bakar Hussian menyeru agar masyarakat Melayu bersatu di atas prinsip menolak pemimpin yang rasuah yang ada dalam parti UMNO.

Beliau menyatakan, UMNO telah menakut-nakutkan masyarakat Melayu sehingga masyarakat Melayu terus menyokong perasuah dan perompak rakyat dari parti UMNO kerana sekiranya tidak, maka Cina akan mengambil-alih kuasa.

Memetik ucapan beliau,

“ UMNO telah memperbodohkan masyarakat Melayu sehingga mereka tidak sedar bahawa pada hakikatnya bila UMNO kalah yang menang bukan DAP tetapi PAS atau calon Melayu dari PKR, kerana kerusi DUN dan Parlimen yang ditandingi UMNO lawannya ialah calon PAS dan PKR yang berbangsa melayu ”

“ Dalam suasana kejahilan, ketakutan ini, UMNO meraih kemenangan demi kemenangan dengan sokongan Melayu. Oleh itu, UMNO ingin suasana sebegini terus kekal di kalangan masyarakat Melayu, supaya mereka akan terus berkuasa”

“ Pada hakikatnya, UMNO mahu menutup kelemahan dan kegagalan mereka dengan melaungkan kembali laungan zaman jahiliyyah, rasuahnya mereka, tidak cekapnya mereka, menyelewengnya mereka, semua ini ingin mereka tutupi dengan laungan jahiliyyah perkauman”

Justeru PAS akan berusaha sehabis mungkin untuk membebaskan masyarakat Melayu yang beragama Islam dari jerat kejahilan, ketakutan yang dipasang oleh UMNO ke atas mereka.

Semoga kita dibebaskan dari belenggu UMNO dan masyarakat Melayu juga akan turut bersatu menolak calon dari UMNO dan BN yang merupakan lambang pemerintahan rasuah dan penyelewengan.

16 Jun : Semua Dijemput Hadir, Membanjiri Negeri Perak

Seluruh rakyat Malaysia, khususnya rakyat Negeri Perak dialu-alukan untuk bersama ke Perhimpunan Hijau di Bagan Serai, Perak, pada 16 Jun ini. Bersama-sama kita meriahkan, dan memohon keberkatan Allah. Insya Allah.

Sunday, 10 June 2012

Akhbar Umno Bebas, Nizar Jadi Kambing Hitam?

IPOH: Pemuda Umno dan media Umno perlu jangan pilih kasih dalam isu WWW 1 kerana pihak yang paling awal mempermainkan isu ini adalah akhbar milik Umno iaitu Kosmo.

(Himpunan di perkarangan Istana Pasir Pelangi, Johor)

Ini kerana, akhbar Umno itu sudah memulakan kempen isu plat www 1 ini sejak 8 April 2012 lagi melalui laporannya di bawah ini.



Pada 25 Mei, sekali lagi berita ini di sensasikan dengan laporan muka depannya melalui berita di bawah.


Pada 28 Mei sekali lagi Kosmo memainkan isu ini bahkan cara serangan yang dibuatnya sama sahaja dengan apa yang di tweet oleh bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaludin melalui kartun yang disiarkannya.

Berikut adalah kartun yang disiarkan Kosmo dan Tweet yang dibuat oleh Nizar.


Apabila media menyiarkan plat WWW 1 ini diletakkan di kereta Satria Neo sekali lagi Kosmo mempermainkan isu ini sebagaimana kartun di bawah.

Nizar juga membuat satu tweet berkaitan dengannya.


Persoalannya adalah kenapa demo yang dibuat Pemuda Umno semalam semacam ditujukan kepada Nizar sahaja tetapi tidak kepada pengarang akhbar mereka sendiri, Kosmo?

Ramai percaya, Nizar hanya dijadikan kambing hitam oleh seteru politik dalaman Umno untuk menyekat tindakan sesetengah pihak dalam Umno yang mahu menyerang pihak tertentu di Johor.

Ini kerana pilihan raya semakin hampir dan usaha dibuat untuk merenggankan hubungan Menteri Besar Johor yang ada dengan pihak Istana.

Usaha ini tentu dibuat oleh pihak yang berkepentingan.

Nizar hanya salah seorang pemimpin PAS sahaja dan telah dinyatakan oleh PAS sebelum ini, kenyataan Nizar hanya pandangan peribadi beliau sahaja dan tidak membayangkan pandangan PAS.

Kosmo adalah akhbar Umno, adakah ia pandangan peribadi pengarang akhbar ini atau pandangan kumpulan tertentu dalam Umno yang sedang berebut sekarang.

Harakahdaily

WWW 1 : Pemuda PAS Perak Persoal Apa Agenda Kosmo


IPOH: Dewan Pemuda PAS Perak mendedahkan akhbar Kosmo sudah lama memainkan isu bidaan nombor pendaftaran kenderaan WWW 1.

Timbalan Ketua Pemuda PAS Perak, Dr Raja Ahmad Iskandar Al-Hiss berkata, sejak 8 April akhbar kepunyaan anak syarikat Utusan Malaysia itu telah mensensasikan isu bidaan ini.

“Saya hairan kenapa dalam banyak-banyak media perdana, Kosmo sahaja yang terlalu teruja memainkan isu ini.

“Umum mengetahui Kosmo adalah merupakan anak syarikat Utusan dan kami melihat seolah-olah ada seseorang di belakangnya yang cuba bermain api,” katanya ketika sidang media selepas Mohammad Nizar selesai memberikan keterangan kepada polis di Pejabat PAS Perak, semalam.

Dalam Kosmo bertarikh 8 April, akhbar itu telah mula menimbulkan isu ini dengan menggambarkan akan berlaku catatan rekod bidaan tertinggi.

Seterusnya pada 25 Mei Kosmo telah mendedahkan bahawa Sultan Johor telah memenangi bidaan plat kenderaan WWW 1 dan dalam keluaran itu juga Kosmo secara sinis telah menggambarkan nilai bidaan tersebut.

Pada 28 Mei pula, Kosmo sekali lagi di ruangan karikatur telah membincangkan tentang bidaan plat tersebut dan turut memainkan isu ini pada 30 Mei di mana Dewan Pemuda PAS Perak telah membuat laporan polis berhubung keluaran itu.

Kosmo pada keluaran 31 Mei cuba melagakan Ahli Parlimen Bukit Gantang itu dengan Sultan Johor apabila mengeluarkan berita di muka depan bertajuk Mohammad Nizar kritik Sultan Johor berhubung plat WWW 1 disiasat.

Naib Ketua Pemuda PAS Malaysia itu mempersoalkan mengapa Kementerian Pengangkutan di bawah menterinya Datuk Seri Kong Cho Ha yang juga Setiausaha Agung MCA mendedahkan isu bidaan ini.

“Kenapa pada 2010 isu bidaan plat ini yang mencecah RM300,000 itu rekod bidaan tertinggi ketika itu tidak tidak didedahkan kepada umum sedangkan isu bidaan plat WWW 1 yang melibatkan Sultan Johor ini didedah dan dihebahkan secara meluas?" soalnya.

Beliau hairan apakah agenda kementerian mendedahkan isu yang membabitkan Sultan Johor ini.

Mengulas lanjut, Raja Ahmad Iskandar turut mempersoalkan kenapa Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussien tidak membuat sebarang tindakan dan kenyataan kepada Kosmo yang terang menjurus kepada Sultan Johor.

“Di mana Pemuda Umno dan Perkasa yang lantang bercakap tentang isu ini.

“Pemuda PAS kesal dengan situasi yang berlaku dan kami sangat kesal dengan sikap pihak Polis yang terbukti tidak adil dan memilih ‘bulu’ dalam mengenakan sesuatu tindakan.

Turut bersama-sama dalam sidang media itu ialah Mohammad Nizar bersama-sama peguam dan pimpinan Pemuda PAS dan Pakatan Rakyat Perak.

Dewan Muslimat PAS Pusat

Dewan Ulamak PAS Pusat

Dewan Pemuda Pas Pusat

 
Ustaz Abu Bakar Hussain. Design by Wpthemedesigner. Converted To Blogger Template By Anshul Tested by Blogger Templates.