Iklan

Iklan

Gambar-gambar

Monday 25 June 2012

PAS Perak Jadikan Kemenangan Morsi Sebagai Inspirasi Kemenangan PR di Perak


IPOH 25 Jun, Kemenangan Morsi di Mesir yang diistiharkan semalam merupakan suatu kemenangan yang besar bagi perjuangan Islam dalam usaha menegakkan keadilan di bumi Allah SWT.

Demikian kenyataan Pesuruhjaya PAS Perak Ustaz Abu Bakar Hussian, ketika mengulas perkembangan terkini Mesir yang menyaksikan Dr Mohammad Morsi diistiharkan secara rasmi sebagai pemenang dalam Pilihanraya Presiden negara itu.

Dr Mohammad Morsi mendapat 13.2 juta undi dari 26 juta rakyat Mesir yang keluar mengundi iaitu 51.7 peratus dari jumlah undi.

Lawannya, Ahmed Shafiq, bekas Perdana Menteri di era Hosni Mubarak mendapat 12.3 million undi.

Keputusan diumumkan oleh Farouq Sultan, Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya Mesir.

Memetik ucapan beliau,

"Moga kemenangan ikhwan muslimin di mesir menjadi insipirasi pejuang Islam di Malaysia untuk meningkatkan lagi usaha dakwah dan penerangan kepada rakyat"

" PAS sentiasa yakin bahawa pertolongan Allah akan tiba, dan kerana itu PAS Perak khususnya sentiasa berusaha untuk meraih kemenangan bagi menyebarluaskan agama Islam di Negeri ini, kerana Islam adalah agama yang membawa rahmat buat seluruh manusia"

Wednesday 20 June 2012

PAS Perak Jalin Kerjasama Baik Dengan Polis Perak

IPOH, 20 Jun, PAS Perak telah mengadakan satu sesi lawatan kunjung mesra ke Ibu Pejabat Polis Kontijen Perak untuk bertemu Ketua Polis Perak Dato' Mohd Shukri bin Dahlan . Menurut Pesuruhjaya PAS Perak Ustaz Abu Bakar Hussain, beliau mewakili PAS Perak sangat menghargai kerjasama baik yang diberikan oleh Ketua Polis Perak khususnya kerana dapat bertukar idea bagi menyelesaikan banyak perkara berhubung isu-isu semasa di negeri Perak ini.

Memetik ucapan Pesuruhjaya PAS Perak,

“Pertemuan ini bertujuan untuk mengeratkan lagi hubungan di antara pimpinan PAS Perak dengan pucuk pimpinan polis kontijen Perak, ini menunjukkan PAS Perak sentiasa menjaga hubungan baik dengan semua pihak bagi memastikan hubungan silaturrahim sesama insan terpelihara dengan baik”.

“ PAS Perak sentiasa mengharapkan agar pihak polis menjalankan amanah mereka dengan adil dan saksama terhadap rakyat tanpa membezakan latarbelakang politik yang berbeza dikalangan rakyat”

“Kami juga sempat membawa isu-isu penting untuk dibincangkan antaranya, isu berkenaan program-program yang dianjurkan oleh PAS di negeri ini sentiasa diganggu oleh UMNO, perbincangan mengenai kerjasama antara PAS dan pihak polis untuk bersama membenteras jenayah di negeri ini dan beberapa isu semasa yang lain”

Memetik ucapan Ketua Polis Perak

“Saya sangat menghargai kerjasama yang diberikan pimpinan PAS Perak, insyaAllah pihak polis akan memberikan kerjasama yang baik atas segala pandangan dan idea yang diberikan pimpinan PAS Perak”

Kesimpulan daripada pertemuan ini akhirnya mencetuskan beberapa resolusi penting antaranya ialah PAS sebagai sebuah parti yang terbuka untuk semua dan bersedia memberikan kerjasama dengan mana-mana pihak bagi memastikan keamanan dan keadilan untuk rakyat dapat dicapai.

Rombongan tersebut di ketuai oleh Ustaz Abu Bakar Hussain selaku Pesuruhjaya PAS Perak, turut hadir bersama ialah, Ustaz Misbahul Munir ( Timbalan Pesuruhjaya PAS Perak ), Haji Razman Zakaria ( Timbalan Pesuruhjaya PAS Perak ), Ustaz Zawawi Hassan ( Ketua Pemuda PAS Perak ), Dr Najihah Ahmad ( Ketua Muslimat PAS Perak ), dan beberepa pimpinan tertinggi yang lain.

perak.pas.org.my











Monday 18 June 2012

Presiden PAS : Haji dan Politik


Oleh :

Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang
Presiden PAS

Saya tidak menyangka bahawa tulisan saya yang menyebut haji dan pilihan raya secara sepintas lalu menjadi polemik hangat beberapa hari. Saya hanya menyebut bahawa masyarakat Islam kebanyakannya tidak tahu perbezaan di antara wajib mudoyyak dan wajib muwassa' yang tidak ada dalam pelajaran fardu ain.

Apabila Ketua Penerangan PAS, Ustaz Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man membuat kenyataan susulan, beliau menjadi sasaran serangan media Umno yang berpelurukan kenyataan berbagai pihak. Maka Umno tidak mengambil kira musim haji atau musim puasa dan sebagainya, kerana Umno tidak menjadikan Islam itu dasar panduan perjuangannya. Tuan Haji Subky Latif pernah menjadi sasarannya apabila menyentuh perkara ini ketika menjadi Ketua Penerangan PAS Pusat.

Media jurubicara Umno mendedahkan kebebalan mereka berkenaan hukum Islam dan mendedahkan kejahilan pemimpin utama mereka sendiri, seterusnya mendedahkan ada di kalangan tokoh agama termasuk berjawatan mufti, bahawa roh dan jasadnya bersama Umno. Paling malang dan menjadi lebai malang ialah kalangan yang jahilnya murakkab, tidak mengenali ilmu usul feqah dan maqasid syariah.

PAS tetap berpegang kepada ajaran Islam yang tidak memisahkan politik daripada agama Islam, walaupun politik tidak termasuk dalam rukun Islam seperti ibadah haji dan tidak termasuk rukun iman. Begitulah juga wajibnya menutup aurat dan menjelaskan hutang sesama manusia, perkara ini tetap wajib ditunaikan serta-merta, walaupun tidak dimasukkan secara sebutan dalam rukun Islam. Para ulama menegaskan bahawa perkara-perkara yang tidak disebut dalam rukun itu, tetap termasuk dalam rukun pertama dua kalimah syahadah dan tidak boleh dipisahkan daripada mana-mana rukun iman.

Dalam perkara wajib, para ulama usul fiqh bukan sahaja membahagikan kepada fardu ain dan fardu kifayah. Perkara wajib juga dibahagikan dari segi kesesuaian kadar waktu menunaikannya, sama ada wajib disegerakan, tidak boleh ditangguh, yang dinamakan wajib mudoyyaq seperti puasa Ramadhan dan sembahyang di akhir waktu. Ada juga wajib yang boleh ditangguh kerana luas waktunya dan tidak berdosa menangguhkannya seperti haji dan sembahyang wajib yang lama masanya di awal waktu. Perkara ini dinamakan wajib muwassa'.

Apabila bertembung dua perkara yang sama wajibnya, maka didahulukan kepada menunaikan wajib mudoyyaq seperti wanita kematian suami yang wajib menunaikan idah berada di rumah dalam masa beberapa bulan yang ditetapkan oleh Al Quran, dalam masa yang sama dia berharta dan mampu menunaikan haji kali pertama yang wajib dan menjadi rukun Islam. Hukumnya hendaklah menunaikan idahnya terlebih dahulu, wajib berada di rumah kerana wajibnya mudoyyaq dan menangguhkan haji kerana wajibnya muwassa'. Walaupun perkara idah tidak termasuk dalam rukun Islam. Begitu juga dengan seseorang yang cukup duitnya menunaikan haji, dalam masa yang sama dia berhutang dan diminta membayar segera, maka hendaklah membayar hutangnya terlebih dahulu atau keluarga wajib diberi nafkah, maka tunaikan nafkah dengan cukup terlebih diutamakan walaupun perkara-perkara tersebut tidak termasuk dalam rukun Islam.

Rasulullah SAW menangguhkan ibadat hajinya walaupun diwajibkan lebih awal, ada kalangan ulama yang menyatakan sejak zaman Nabi Adam. Ada yang menyatakan sejak zaman Nabi Ibrahim dan ada yang menyatakan di tahun ketujuh hijrah. Rasulullah SAW membebaskan Makkah (Fathul Makkah) daripada Jahiliyyah terlebih dahulu daripada menunaikan haji dan menghadapi qabilah Hawazin dalam peperangan Hunain. Walaupun banyak harta dan bekalan berada dalam tangan melimpah ruah dan sudah masuk bulan Syawal (bulan haji), namun terus pulang ke Madinah tanpa menunaikan haji.

Rasulullah SAW menugaskan sahabatnya Abu Bakar R.A supaya memimpin umat Islam menunaikan haji pada tahun kesembilan hijrah. Adapun Rasulullah SAW menangguhkan haji sehingga tahun kesepuluh hijrah, sebelum sedikit kewafatan baginda. Para ulama menegaskan bahawa wajib haji adalah muwassa', boleh ditangguh dan Rasulullah SAW mendahulukan urusan politik negaranya dengan menerima rombongan yang datang menyerah diri masuk Islam atau sedia berdamai.

Dalam peristiwa Hudaibiyah pula, Rasulullah dan para sahabat telah memakai pakaian ihram bagi menunaikan umrah. Tiba-tiba dihalang memasuki Makkah dan berakhir dengan perjanjian Hudaibiyah yang salah satu syaratnya menangguhkan umrah. Maka ditangguhkan umrah dan dibayar dam(denda) tanpa menunaikan umrah pada tahun tersebut. Umrah ditangguh kerana perjanjian Hudaibiyah memberi kemenangan politik yang tidak boleh ditangguhkan.

Kepada PAS, pilihanraya adalah amalan politik yang menjadi hak memilih pemimpin dan kerajaan. Politik adalah sebahagian daripada ajaran Islam, walaupun pilihanraya itu dikatakan asalnya dari Barat. Passport dan visa haji juga berasal daripada Barat, kedua-duanya tidak termasuk dalam syarat dan rukun haji. Para ulama usul Fiqh menetapkan kaedah bahawa perkara yang menjadi halangan menunaikan yang wajib kalau tidak melakukannya menjadi wajib juga. Begitulah pilihanraya adalah cara memilih pemimpin dan kerajaan yang menjadi perkara wajib mengikut semua mazhab Islam dengan nas dan ijmak, kecuali mazhab yang sesat. Al Quran menyebut ayat-ayat yang banyak dalam beberapa surah menunjukkan memilih pemimpin dan kerajaan adalah perkara yang akan dihisab pada hari qiamat nanti. Amaran ini berulang kali lebih banyak daripada ayat haji dan umrah.

PAS tetap mendidik ahli dan penyokongnya bahawa politik tidak boleh dipisahkan daripada agama Islam, laksana tidak boleh dipisahkan kepala dengan badan. Imam Al Ghazali seorang tokoh ulama tasawuf juga menegaskan, "agama adalah asas, kuasa pemerintahan (politik) adalah pengawas. Kalau tidak ada asas runtuh, kalau tidak ada pengawas, hilang tercicir". Maka banyak hukum-hakam Islam dihilangkan kerana politik Islam ditinggalkan. Almarhum Syed Alawi Al Haddad, Mufti Kerajaan Johor ditahun 50-an menyatakan dalam fatwanya yang diterbitkan berkenaan kewajipan pilihanraya dan parti mana yang wajib dipilih. Kepada imam-iman yang masih kuat menyokong Umno di Johor, sila cari buku fatwa ini.

PAS yang bersama Pakatan Rakyat, sekiranya diberi kuasa memerintah negara tidak mengizinkan musim haji menafikan hak rakyat menunaikan kewajipan politik ini tanpa mengira menang atau kalah, kerana hak politik adalah amanah besar dalam ajaran Islam. Rasulullah SAW menegaskan bahawa menghilangkan amanah ini menjadi salah satu sebab berlakunya kiamat yang menamatkan alam dunia dengan kehancurannya.

Akhirnya percayalah bahawa diam lebih baik daripada bercakap kejahilan, kerana bercakap dalam perkara yang tidak diketahui mendedahkan kebodohan diri sendiri. Beginilah jadinya apabila lesen memandu dijual, boleh membawa kemalangan. Kalau tauliah ilmu juga boleh dijual beli dengan harta dan pangkat, boleh menyesatkan orang ramai. Namun cahaya ilmu Islam pasti bersuluh dan dipelihara Allah. Sesuapa yang mengkhianati ilmu Islam pasti tersungkur akhirnya.

Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang
Presiden PAS

Ulamak Anggap Politik Perkara Duniawi Dibidas

Kuala Lumpur : Kenyataan pihak-pihak tertentu bahawa isu politik merupakan perkara duniawi adalah kenyataan tidak berasas dan tidak berpandukan syarak.

Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS Pusat, Ustaz Nik Zawawi Salleh menegaskan, kenyataan itu juga lebih kepada menjaga kepentingan pihak tertentu dan tidak menggambarkan kenyataan berasaskan Al-Quran, Sunnah, Ijmak dan Qias.



Beliau menjelaskan, ibadat haji adalah salah satu kefarduan dalam Islam sebagaimana perjuangan Islam yang juga merupakan suatu kefarduan.

Kedua-dua ini, merupakan perkara amat besar yang dilihat daripada ayat al-Quran, ayat yang menyentuh perjuangan Islam yang mencakupi sebahagian besar al-Quran.

"Isu perjuangan Islam dan isu untuk menegakkan sebuah negara Islam serta melaksanakan perlembagaan Islam dalam negara merupakan isu pokok dan isu dasar dalam Islam"

Jelasnya, kenyataan yang dikeluarkan Ketua Penerangan PAS Pusat, Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man disokong Dewan Ulamak PAS Pusat kerana apa yang ditegaskan PAS adalah penangguhan ibadat Haji kerana berhadapan dengan pilihanraya dan bukan membatalkannya.

"Dalam isu ini, PAS minta dua keadaan iaitu Perdana Menteri mengistiharkan Pilihanraya tidak dibuat dalam tempoh musim haji. Itu adalah cara yang terbaik"

"Selain itu, jika Perdana Menteri tidak boleh mengistiharkan pilihanraya,PAS minta penyokong PAS supaya menangguhkan ibadat haji daripada tahun ini kepada tahun hadapan.

"Apabila kita menangguhkannya kepada tahun hadapan, kita akan memperolehi dua perkara iaitu kita boleh menyempurnakan hak memilih pemimpin dan pada tahun hadapan kita boleh menunaikan ibadat haji,"katanya.

Ustaz Nik Zawawi menjelaskan, jika seseorang menunaikan ibadat haji dengan meninggalkan urusan perjuangan Islam, ia tidak bertepatan dengan kehendak syarak dan dengan feqh awlawiyyat itu sendiri.

Dipetik dari Harakah

Tahniah Buat Rakyat Perak Yang Menjayakan Himpunan Hijau 16 Jun


Bagan Serai: Himpunan Hijau Ke Putrajaya peringkat Negeri Perak yang diadakan berjaya telah mencapai sasaran yang telah ditetapkan.

Ianya memperlihatkan rekod kehadiran ahli dan penyokong PAS cukup memberansangkan bermula seawal program sehingga kemuncak pada ceramah sebelah malamnya.

Program bermula dengan himpunan 10 ribu pesawah pada paginya yang turut dihadiri oleh Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat, kemudian disambung dengan konvoi motosikal 3000 anak muda sempena himpunan hijau ini sebelum disambung sebelah petangnya dengan program x-pressi anak muda yang dikendalikan Dewan Pemuda PAS Perak.

Kemuncak program pada malamnya iaitu program munajat dan ceramah oleh pimpinan PAS khususnya mendengar amanat Pesuruhjaya PAS Perak dan Mursyidul Am PAS yang menyaksikan lebih 20 000 orang yang hadir.

Di samping itu penyerahan borang keahlian PAS dari beberapa individu yang pernah memegang jawatan tinggi dalam kerajaan juga turut diadakan.

Pesuruhjaya PAS Negeri Perak, Ustaz Abu Bakar Hussian berkata, sasaran kehadiran ahli dan penyokong PAS semalam sangat memberangsangkan.

Sambutan malam tadi ujarnya sesuatu perkembangan yang sangat positif buat politik negeri Perak apatah lagi rata-rata mereka yang hadir adalah golongan muda.

"Masyarakat pelbagai kaum juga cukup selesa dengan program kita sekarang. Ia mengambarkan PAS diterima oleh semua kaum", ujar beliau lagi.

Wednesday 13 June 2012

Himpunan Hijau 16 Jun Di Bagan Serai : Wawancara Bersama Pesuruhjaya PAS Perak



Wawancara Himpunan Hijau Ke Putrajaya Peringkat Negeri Perak bersama Ustaz Abu Bakar Hussian (Pesuruhjaya PAS Perak)

Wartawan : Assalamualaikum Ustaz

Ustaz Abu Bakar : Waalaikumsalam WarahmatuLlahi Wabarakatuh

Wartawan : Berikutan Himpunan Hijau yang akan diadakan di Masjid Tinggi Bagan Serai pada 16 Jun yang jatuh pada hari sabtu ini, bolehkah ustaz ceritakan sedikit sebanyak berkenaan objektif pelaksanaannya?

Ustaz Abu Bakar : Himpunan Hijau yang diadakan 16 Jun ini cuba membawa satu persepsi kepada masyarakat umum tentang kesempurnaan Islam yang dibawa oleh PAS, dan memberi kefahaman yang jelas tentang matlamat sebenar mengapa PAS dan Pakatan Rakyat meletakkan sasaran untuk ke Putrajaya selepas PRU 13 ini.

Wartawan : Bolehkah Ustaz huraikan serba sedikit berkenaan matlamat ke Putrajaya dan kesempurnaan Islam yang cuba diterapkan oleh PAS

Ustaz Abu Bakar : Perkara pertama yang perlu kita ketahui, dasar perjuangan PAS adalah Islam dan PAS akan memelihara keadilan sejagat seluruh bangsa dan kaum yang ada di Malaysia. Selain itu, PAS berusaha sedaya upaya untuk memahamkan semua lapisan masyarakat tentang kesempurnaan Islam, yang merangkumi sistem pendidikan, ketenteraan, politik,ekonomi, hiburan, cara pakaian, adat, tatasusila dan banyak lagi. Dakwah yang dipersembahkan oleh PAS berbentuk mesra terhadap semua lapisan, termasuk golongan muda, kakitangan kerajaan, atlit sukan, artis hiburan, pakar akademik dan banyak lagi, termasuk golongan non-muslim bagi memahami erti sebenar kehidupan yang disusun oleh Allah yang menciptakan semua makhluk.

Manakala objektif menuju ke putrajaya adalah satu hala tuju bagi mendapatkan pemerintahan Malaysia, untuk memastikan pemerintahan Malaysia berteraskan Islam yang sebenar. Kita melihat selama 50 tahun pemerintahan Barisan Nasional, kerajaan Barisan Nasional telah merosakkan kefahaman Islam di dalam minda masyarakat dengan begitu teruk. Antaranya memisahkan politik daripada Islam, sedangkan Islam itu melengkapi semua elemen termasuk politik. Apabila politik dipisahkan daripada Islam, maka kita akan lihat kecelaruan pemerintahan Barisan Nasional sepertimana yang berlaku pada hari ini. Alhamdulillah, sejak kebelakangan ini kita mendapati sambutan daripada pelbagai lapis masyarakat yang sudah pun mengenali Islam, hasil daripada usaha yang PAS lakukan selama ini, dan bantuan daripada Allah SWT sendiri.

Wartawan : Apakah aktiviti yang diadakan di sepanjang Himpunan Hijau di Bagan Serai ini?

Ustaz Abu Bakar : Antara aktiviti yang menarik ialah konvoi motosikal dan kereta anak muda bersama Tuan Guru Nik Abdul Aziz, persembahan artis terkenal tanah air, pidato anak muda, ikrar rakyat memenagkan PAS dalam PRU-13 ini serta amanat dari Mursyidul Am PAS.

Wartawan : Boleh Ustaz maklumkan apakah program kemuncak dalam himpunan ini?

Ustaz Abu Bakar: Untuk makluman semua, program kemuncak dalam himpunan ini ialah kita akan umumkan beberapa bekas pegawai tinggi kerajaan dan aktivis tegar UMNO menyerahkan borang keahlian menjadi ahli PAS kepada Tuan Guru Nik Abdul Aziz ( Mursyidul Am PAS ).

Wartawan : Baik, terima kasih Ustaz atas kesudian untuk ditemubual. Assalamualaikum.

Ustaz Abu Bakar : Waalaikumsalam warahmatuLlahi wabarakatuh.

Tuesday 12 June 2012

Orang Melayu Bersatu Tolak Rasuah Pemimpin UMNO


IPOH, Pesuruhjaya PAS Perak, Ustaz Abu Bakar Hussian menyeru agar masyarakat Melayu bersatu di atas prinsip menolak pemimpin yang rasuah yang ada dalam parti UMNO.

Beliau menyatakan, UMNO telah menakut-nakutkan masyarakat Melayu sehingga masyarakat Melayu terus menyokong perasuah dan perompak rakyat dari parti UMNO kerana sekiranya tidak, maka Cina akan mengambil-alih kuasa.

Memetik ucapan beliau,

“ UMNO telah memperbodohkan masyarakat Melayu sehingga mereka tidak sedar bahawa pada hakikatnya bila UMNO kalah yang menang bukan DAP tetapi PAS atau calon Melayu dari PKR, kerana kerusi DUN dan Parlimen yang ditandingi UMNO lawannya ialah calon PAS dan PKR yang berbangsa melayu ”

“ Dalam suasana kejahilan, ketakutan ini, UMNO meraih kemenangan demi kemenangan dengan sokongan Melayu. Oleh itu, UMNO ingin suasana sebegini terus kekal di kalangan masyarakat Melayu, supaya mereka akan terus berkuasa”

“ Pada hakikatnya, UMNO mahu menutup kelemahan dan kegagalan mereka dengan melaungkan kembali laungan zaman jahiliyyah, rasuahnya mereka, tidak cekapnya mereka, menyelewengnya mereka, semua ini ingin mereka tutupi dengan laungan jahiliyyah perkauman”

Justeru PAS akan berusaha sehabis mungkin untuk membebaskan masyarakat Melayu yang beragama Islam dari jerat kejahilan, ketakutan yang dipasang oleh UMNO ke atas mereka.

Semoga kita dibebaskan dari belenggu UMNO dan masyarakat Melayu juga akan turut bersatu menolak calon dari UMNO dan BN yang merupakan lambang pemerintahan rasuah dan penyelewengan.

16 Jun : Semua Dijemput Hadir, Membanjiri Negeri Perak

Seluruh rakyat Malaysia, khususnya rakyat Negeri Perak dialu-alukan untuk bersama ke Perhimpunan Hijau di Bagan Serai, Perak, pada 16 Jun ini. Bersama-sama kita meriahkan, dan memohon keberkatan Allah. Insya Allah.

Sunday 10 June 2012

Akhbar Umno Bebas, Nizar Jadi Kambing Hitam?

IPOH: Pemuda Umno dan media Umno perlu jangan pilih kasih dalam isu WWW 1 kerana pihak yang paling awal mempermainkan isu ini adalah akhbar milik Umno iaitu Kosmo.

(Himpunan di perkarangan Istana Pasir Pelangi, Johor)

Ini kerana, akhbar Umno itu sudah memulakan kempen isu plat www 1 ini sejak 8 April 2012 lagi melalui laporannya di bawah ini.



Pada 25 Mei, sekali lagi berita ini di sensasikan dengan laporan muka depannya melalui berita di bawah.


Pada 28 Mei sekali lagi Kosmo memainkan isu ini bahkan cara serangan yang dibuatnya sama sahaja dengan apa yang di tweet oleh bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaludin melalui kartun yang disiarkannya.

Berikut adalah kartun yang disiarkan Kosmo dan Tweet yang dibuat oleh Nizar.


Apabila media menyiarkan plat WWW 1 ini diletakkan di kereta Satria Neo sekali lagi Kosmo mempermainkan isu ini sebagaimana kartun di bawah.

Nizar juga membuat satu tweet berkaitan dengannya.


Persoalannya adalah kenapa demo yang dibuat Pemuda Umno semalam semacam ditujukan kepada Nizar sahaja tetapi tidak kepada pengarang akhbar mereka sendiri, Kosmo?

Ramai percaya, Nizar hanya dijadikan kambing hitam oleh seteru politik dalaman Umno untuk menyekat tindakan sesetengah pihak dalam Umno yang mahu menyerang pihak tertentu di Johor.

Ini kerana pilihan raya semakin hampir dan usaha dibuat untuk merenggankan hubungan Menteri Besar Johor yang ada dengan pihak Istana.

Usaha ini tentu dibuat oleh pihak yang berkepentingan.

Nizar hanya salah seorang pemimpin PAS sahaja dan telah dinyatakan oleh PAS sebelum ini, kenyataan Nizar hanya pandangan peribadi beliau sahaja dan tidak membayangkan pandangan PAS.

Kosmo adalah akhbar Umno, adakah ia pandangan peribadi pengarang akhbar ini atau pandangan kumpulan tertentu dalam Umno yang sedang berebut sekarang.

Harakahdaily

WWW 1 : Pemuda PAS Perak Persoal Apa Agenda Kosmo


IPOH: Dewan Pemuda PAS Perak mendedahkan akhbar Kosmo sudah lama memainkan isu bidaan nombor pendaftaran kenderaan WWW 1.

Timbalan Ketua Pemuda PAS Perak, Dr Raja Ahmad Iskandar Al-Hiss berkata, sejak 8 April akhbar kepunyaan anak syarikat Utusan Malaysia itu telah mensensasikan isu bidaan ini.

“Saya hairan kenapa dalam banyak-banyak media perdana, Kosmo sahaja yang terlalu teruja memainkan isu ini.

“Umum mengetahui Kosmo adalah merupakan anak syarikat Utusan dan kami melihat seolah-olah ada seseorang di belakangnya yang cuba bermain api,” katanya ketika sidang media selepas Mohammad Nizar selesai memberikan keterangan kepada polis di Pejabat PAS Perak, semalam.

Dalam Kosmo bertarikh 8 April, akhbar itu telah mula menimbulkan isu ini dengan menggambarkan akan berlaku catatan rekod bidaan tertinggi.

Seterusnya pada 25 Mei Kosmo telah mendedahkan bahawa Sultan Johor telah memenangi bidaan plat kenderaan WWW 1 dan dalam keluaran itu juga Kosmo secara sinis telah menggambarkan nilai bidaan tersebut.

Pada 28 Mei pula, Kosmo sekali lagi di ruangan karikatur telah membincangkan tentang bidaan plat tersebut dan turut memainkan isu ini pada 30 Mei di mana Dewan Pemuda PAS Perak telah membuat laporan polis berhubung keluaran itu.

Kosmo pada keluaran 31 Mei cuba melagakan Ahli Parlimen Bukit Gantang itu dengan Sultan Johor apabila mengeluarkan berita di muka depan bertajuk Mohammad Nizar kritik Sultan Johor berhubung plat WWW 1 disiasat.

Naib Ketua Pemuda PAS Malaysia itu mempersoalkan mengapa Kementerian Pengangkutan di bawah menterinya Datuk Seri Kong Cho Ha yang juga Setiausaha Agung MCA mendedahkan isu bidaan ini.

“Kenapa pada 2010 isu bidaan plat ini yang mencecah RM300,000 itu rekod bidaan tertinggi ketika itu tidak tidak didedahkan kepada umum sedangkan isu bidaan plat WWW 1 yang melibatkan Sultan Johor ini didedah dan dihebahkan secara meluas?" soalnya.

Beliau hairan apakah agenda kementerian mendedahkan isu yang membabitkan Sultan Johor ini.

Mengulas lanjut, Raja Ahmad Iskandar turut mempersoalkan kenapa Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussien tidak membuat sebarang tindakan dan kenyataan kepada Kosmo yang terang menjurus kepada Sultan Johor.

“Di mana Pemuda Umno dan Perkasa yang lantang bercakap tentang isu ini.

“Pemuda PAS kesal dengan situasi yang berlaku dan kami sangat kesal dengan sikap pihak Polis yang terbukti tidak adil dan memilih ‘bulu’ dalam mengenakan sesuatu tindakan.

Turut bersama-sama dalam sidang media itu ialah Mohammad Nizar bersama-sama peguam dan pimpinan Pemuda PAS dan Pakatan Rakyat Perak.

Ahli UMNO Yang Sertai UMNO, Bukan PAS


PAS Kawasan Larut menafikan laporan yang disiarkan dalam Akhbar Sinar Harian dan Mingguan Malaysia bertarikh 3 Jun 2012(hari ini) yang melaporkan 688 ahli PAS di kawasan tersebut mengisyhtiharkan diri keluar parti dan menyertai Umno.

Larut: PAS Kawasan Larut menafikan laporan yang disiarkan dalam Akhbar Sinar Harian dan Mingguan Malaysia bertarikh 3 Jun 2012(hari ini) yang melaporkan 688 ahli PAS di kawasan tersebut mengisyhtiharkan diri keluar parti dan menyertai Umno.

Ketua Penerangannya, Mohd Akmal Kamaruddin berkata laporan tersebut adalah pembohongan terancang dan pengulangan skrip lama yang dilakukan Umno bertujuan meraih sokongan masyarakat di sini terhadap parti itu.

Jelasnya“Ini adalah kali ketiga mereka membuat pembohongan serupa,mungkin disebabkan mereka berasa cemas dan tergugat setelah melihat momentum sokongan masyarakat di sini terhadap PAS dan Pakatan Rakyat yang semakin meningkat”

Menurut Akmal lagi,pihaknya telah membuat semakan di setiap cawangan dan mendapati tidak wujud sejumlah yang dinyatakan bertindak keluar parti.

Beliau turut membuat cabaran kepada Umno bahagian Larut agar mengemukakan bukti kukuh seperti sijil atau nombor keahlian kesemua 688 ahli PAS seperti yang dinyatakan bagi membuktikan kesahihan dakwaan tersebut.

Ia bagi memudahkan kerja kita untuk megeluarkan nama-nama mereka daripada senarai ahli berdaftar sekiranya mereka adalah ahli PAS, katanya lagi

Sebelum ini cabaran yang sama pernah dibuat beliau kepada Umno bahagian Larut apabila laporan akhbar Sinar Harian bertarikh 18 April 2012 melaporkan 360 ahli PAS di kawasan ini bertindak keluar parti, namun sehingga ke hari ini cabaran tersebut tidak diendahkan mereka.

“Yang sebetulnya bukan ahli PAS menyertai Umno, tetapi ahli Umno yang menyertai Umno. Semuanya hanyalah lakonan semata-mata," ujar Akmal lagi.

Laporan akhbar Sinar Harian dan Mingguan Malaysia hari ini melaporkan beberapa orang ahli PAS telah membuat penyerahan borang menyertai Umno mewakili 688 ahli PAS kawasan ini kepada Ahli Parlimen Larut, Datuk Hamzah Zainuddin.

Majlis penyerahan borang berlangsung di kediaman salah seorang bekas ahli PAS,Abdul Wahab Mahmud yang telahpun meisyhtiharkan diri keluar parti dan menyertai Umno beberapa minggu yang lalu.Abdul Wahab sebelum ini adalah ahli PAS cawangan Titi Kasai, Batu Kurau.

Bagi merungkaikan segala pembohongan ini, Akmal berkata, pihaknya telahpun menziarahi seorang warga emas yang turut serta dalam majlis penyerahan borang tersebut bagi mendapatkan gambaran cerita sebenar.

Beliau adalah Mohd Sulaiman Abd Wahab atau dikenali sebagai “Pak Su Mat” oleh masyarakat setempat. Apa yang menarik perhatian kami, beliau sendiri mengakui telah “dipergunakan” bagi tujuan menjayakan skrip yang dirancang Umno.

“Saya hanya dipergunakan untuk kepentingan nafsu serakah Umno,” katanya sewaktu menerima kunjungan PAS Kawasan Larut.

Ujarnya lagi, memang wujud ahli PAS di sini menyertai Umno, tetapi hanya 2 orang, bukannya 688 seperti yang dilaporkan.

Pak Su Mat turut mempelawa PAS kawasan Larut agar menganjurkan satu program ceramah bagi menafikan dakwaan tersebut di kediamannya yang hanya bersebelahan dengan kediaman Abdul Wahab Mahmud, tempat berlangsungnya majlis penyerahan borang 688 ahli PAS yang kononnya menyertai Umno. -paspb

Saturday 9 June 2012

Munajat Perdana PAS Perak Bersama Tuan Guru Haji Salleh Musa Dapat Sambutan Hangat


BAGAN SERAI, : Program Munajat Perdana bersama Tuan Guru Hj Salleh Musa dari Kedah di Masjid Tinggi mendapat sambutan hangat oleh pimpinan dan ahli-ahli PAS Perak.

Hadirin telah memenuhi ruang masjid untuk mengerjakan solat maghrib dan solat hajat seterusnya mendengar tazkirah dan amanat dari Tuan Guru Hj Salleh.

Dalam tazkirahnya, beliau menyebut bahawa semua ahli PAS yang berjuang hendaklah ingat tentang perjuangan asal kita adalah untuk menegakkan kalimah Allah di atas muka bumi ini dan bukan kerana yang lain seperti mengejar kebendaan.

Memetik ucapan beliau,

"Ramai yang telah mula terpesong apabila kemenangan dicapai dan kebendaan mula kelihatan di depan mata. Semakin lama semakin banyak dan niat mula berubah apabila mata benda mula mengoncang dan menggoda hati"

"Oleh itu semua kita hendaklah membetulkan niat kita dalam perjuangan hanya semata-mata untuk mendapat redha Allah. Setiap apa yang kita lakukan akan disoal di akhirat kelak satu persatu terutama setelah mencapai kemenangan"

"Tanggunjawab hendaklah kita tunaikan sebagai calon yang menang. Insaflah bahawa Allah akan menambah nikmatnya dengan banyak apabila kita bersyukur dan sebaliknya Allah akan mengazab kita seandainya kita menjadi kufur"

"Maka kerja buat kita dalam perjuangan hendaklah dilaksanakan dengan bersungguh-sungguh dan ikhlas kerana Allah. Ketika itulah Allah akan memberi pertolongan kepada kita untuk mencapai kemenangan"

"Jangan wujud hasad dengki dalam hati setiap pejuang dan berjuanglah kerana Allah dengan niat yang betul. Sesungguhnya perjuangan ini memakan masa yang lama. Nabi Musa menentang Firaun memakan masa sehingga 40 tahun lamanya"

Akhnya beliau mengajak kepada seluruh jemaah yang hadir berjuang dengan penuh kesungguhan dan sanggup berkorban dengan segala-galanya untuk menapai kemengangan Islam.

Turut hadir dalam majlis ini ialah Ustaz Abu Bakar Hussian, Pesuruhjaya PAS Perak serta seluruh pimpinan PAS Perak yang lain.

Wednesday 6 June 2012

BN Perlu Bersedia Menjadi Pembangkang Selepas PRU 13 Ini

Ipoh, 6 Jun, PAS Perak melihat kenyataan Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) penentu hidup mati Barisan Nasional (BN) dengan sendirinya menggambarkan bahawa BN semakin kurang sokongan dari rakyat dan bakal menjadi pembangkang selepas PRU 13 ini.

Menurut Pesuruhjaya PAS Perak, Ustaz Abu Bakar Hussian menyifatkan rakyat kini bijak menilai pihak yang dapat menawarkan kerajaan yang lebih baik dalam memperjuangkan hak rakyat.

Beliau juga menyatakan, hidup mati BN adalah bergantung kepada Umno semata-mata kerana dua komponen BN, MIC dan MCA sudah lama hilang kuasa dan sokongan rakyat.

Parti kompenan BN, sudah makin lemah dengan kurangnya sokongan rakyat kepada parti MIC dan MCA, tegas beliau

Memetik ucapan beliau

"Golongan muda pada masa sekarang sudah pun berfikiran matang dan terbuka untuk memilih pemimpin yang boleh perjuangkan hak rakyat walaupun ada segelintir masih lagi dalam pemikiran lama.

"Hal ini boleh dilihat dengan penglibatan golongan muda kepada Himpunan Hijau Menuju Putrajaya yang diadakan baru-baru ini”.

http://ustazabubakar.blogspot.com/

Hubungan Dengan Allah, Syarat Menang Putrajaya


ALOR SETAR: (Harakahdaily oleh Nazri Abdullah) Presiden PAS Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, untuk mengambil alih pemerintahan negara bukan sesuatu yang mustahil, namun perlu memenuhi syaratnya.

Katanya, antara syarat utama adalah setiap ahli PAS perlu menjaga hubungan dengan Allah dengan menunaikan segala suruhan dan meninggalkan segala laranganNya.

"Menang Putrajaya tidak mustahil, tapi dengan syarat kita mestilah melaksanakan roadmap yang ditentukan Allah SWT," katanya ketika berucap di Himpunan Hijau ke Putrajaya di Stadium Darul Aman, malam tadi.

Menurutnya, kemenangan akan diturunkan Allah jika kita menolong menegakkan agamaNya.

Kemenangan juga katanya, tidak akan datang dengan percuma dan memerlukan ahli PAS untuk turun ke medan melaksanakan tugasan berdepan dengan golongan yang memerangi Islam.

Namun katanya, Himpunan Hijau ke Putrajaya yang dianjurkan PAS malam ini adalah sebagai usaha awal untuk mencapai kemenangan tersebut.

"Malam ini kita melihat tanda kemenangan. Himpunan diisi dengan solat hajat memohon pertolongan Allah.

"Berbeza dengan (himpunan) pihak satu yang diisi dengan perkara yang melalaikan," katanya dipercayai merujuk kepada Himpunan Jutaan Belia yang dianjurkan Umno BN.

Himpunan anjuran Umno BN minggu lalu itu turut diisi dengan persembahan tarian K-Pop artis korea dan kumpulan penari seksi dari Jepun sehingga mendapat respon negatif dari rakyat.

Mengulas lanjut, Tuan Guru Abdul Hadi turut mengingatkan semua ahli PAS berkerja bersungguh-sungguh untuk memenangi pilihan raya umum nanti.

"Jangan jadi orang yang tidak mengerti iaitu pertama orang yang anggap kita tak boleh menang sampai bila-bila, dan kedua orang yang nak menang cepat," tegasnya.

Usrah Maya : Beramal Untuk Islam Itu Wajib


Oleh :

Al-Fadhil Ustaz Nik Muhammad Nasri Nik Malek
(Ketua Lajnah Penyelidikan dan Penerbitan Dewan Ulamak PAS Terenganu)

Almarhun Ustaz Fathi Yakan mengingatkan umat Islam tentang kewajiban beramal untuk Islam. Beramal untuk Islam tidak hanya dalam ibadat ritual solat, puasa, zakat, haji yang difahami oleh sesetengah orang Islam tapi dalam konteks yang syumul iaitu melahirkan individu muslim sejati, keluarga, masyarakat dan negara yang tunduk kepada Allah dalam ertikata sebenar. Perkara ini dikupas dalam buku ‘Apa Erti Saya Menganut Islam’ pada bahagian 2 bab 2 dengan mengemukakan beberapa hujah. Saya membuat kesimpulan dari perbincangan usrah yang diadakan:meyakini beramal untuk Islam itu wajib (133) , beramal secara individu dan jemaah, amal jihad kembali kpd mujahid (86) , wajib dari bbrp sudut (2) ,

Bahagian 2: Bab 2: Saya Mesti Meyakini Beramal Untuk Islam Itu Wajib

Sebenarnya beramal untuk Islam dalam erti kata yang sebenar ialah untuk melahirkan individu yang mencerminkan akidah dan akhlak Islam, melainkan masyarakat yang berpegang teguh dengan pemikiran dan cara hidup Islam sebagai syariat perundangan, peraturan dan perlembagaan hidup, serta memikul amanah dakwah yang menjadi petunjuk dalam menegakkan kebenaran dan keadilan di alam ini.

Seluruh amal ini dan lain-lain keperluan untuk amalan-amalan ini serta lain-lain perkara yang berkaitan yang dituntut oleh amal-amal ini adalah satu tuntutan syariat. Kewajipan melaksanakan tidaklah gugur kecuali setelah tertegaknya satu kuasa yang dapat mengendalikan tanggungjawab ini dan memelihara urusan kaum muslimin.

Selagi kekuasaan ini tidak wujud, maka seluruh kecuaian atau kecacatan para petugas amal Islam dan kecuaian orang yang tidak turut serta dalam kerja-kerja ini, menurut pandangan Islam adalah satu dosa yang tidak akan hilang melainkan orang-orang Islam bersegera bangun memikul tanggungjawab melaksanakan kerja-kerja untuk menegakkan Islam.

Di antara bukti-bukti yang menguatkan bahawa beramal untuk Islam adalah wajib dan ianya bersifat wajib taklifi (difardukan), bukannya tanggungjawab yang diperintahkan melakukan secara sukarela, dapat dilihat secara yakin dari beberapa sudut:

Pertama: Wajib Dari Sudut Prinsip (Mabda’).

Beramal atau bekerja untuk (menegakkan seluruh ajaran) Islam pada prinsipnya adalah wajib kerana beramal atau bekerja adalah tanggungjawab yang telah dipertanggungjawabkan oleh Allah s.w.t kepada seluruh umat manusia, didahului oleh para Nabi dan para Rasul kemudian ke atas umat manusia seluruhnya hingga ke hari kiamat kelak.

Ini adalah berdasarkan kepada firman Allah bermaksud:

Demi Masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar. (Al-Asr, Ayat: 1 – 3).

Dan firman Allah bermaksud:

Wahai Rasul Allah! Sampaikanlah apa yang telah diturunkan kepadamu dari Tuhanmu dan jika engkau tidak melakukannya (dengan menyampaikan semuanya), maka bermakna tiadalah engkau menyampaikan perutusanNya. (Al-Maaidah, Ayat: 67).

Dan firman Allah bermaksud:

Sesungguhnya orang-orang yang menyembunyikan apa yang telah Kami turunkan dari keterangan-keterangan dan petunjuk hidayat, sesudah Kami menerangkannya kepada manusia di dalam Kitab Suci, mereka itu dilaknat oleh Allah dan dilaknat oleh sekalian makhluk (Al-Baqarah, Ayat: 159).

Dalam sunnah Rasulullah s.a.w yang mulia terdapat riwayat-riwayat yang mempunyai hubungan secara khusus tentang dakwah kepada kebenaran dan menentang kebatilan. Di antaranya ialah sabda Rasulullah s.a.w:

“Sesiapa di antara kamu yang melihat kemungkaran, dia hendaklah mencegahnya dengan tangannya, sekiranya dia tidak mampu (mencegah dengan tangan – kuasa), maka hendaklah dia mengubah dengan menggunakan lidahnya (teguran dan nasihat), maka sekiranya ia tidak mampu juga hendaklah ia mengubah dengan hatinya (iaitu tidak reda dan benci) dan demikian itu adalah selemah-lemah iman. Tidak ada lagi iman selepas tahap itu walaupun sebesar biji sawi” (Hadis riwayat Tirmizi).

Sabda baginda yang lain:

“Wahai manusia, sesungguhnya Allah berfirman kepadamu: Perintahlah (manusia) supaya melakukan perkara-perkara yang makruf (yang baik) dan cegahlah mereka dari melakukan perkara-perkara yang mungkar sebelum (tiba suatu waktu di mana) kamu meminta, lalu aku tidak lagi menerimanya dan kamu memohon pertolongan lalu aku tidak menolong kamu lagi”. (Hadis riwayat Ibnu Majah dan Ibnu Hibban).

Sabda Rasulullah s.a.w lagi:

“Apabila engkau melihat umatku takut untuk berkata kepada orang yang melakukan kezaliman: Wahai penzalim! Maka sesungguhnya dia telah mengucapkan selamat tinggal baginya”. (Hadis riwayat Hakim).

Kedua: Wajib dari Sudut Hukum.

Beramal untuk Islam adalah wajib dilihat dari sudut hukum kerana tidak berjalannya syariat Allah di atas muka bumi dan penguasaan sistem dan undang-undang ciptaan manusia ke atas masyarakat manusia hari ini mewajibkan umat Islam bekerja untuk menegakkan masyarakat Islam dan mengembalikan cara hidup Islam. Umat Islam juga wajib bekerja supaya manusia tunduk mengabadikan diri kepada Allah di dalam iktikad keyakinan, akhlak dan sistem hidup mereka berdasarkan dalil dari Al-Quran yang menyebut bermaksud:

Maka demi Tuhanmu (wahai Muhammad)! Mereka tidak disifatkan beriman sehingga mereka menjadikan engkau hakim dalam mana-mana perselisihan yang timbul di antara mereka, kemudian mereka pula tidak merasa di hati mereka sesuatu keberatan dari apa yang telah engkau hukumkan dan mereka menerima keputusan itu dengan sepenuhnya. (An-Nisa’, Ayat: 65).

Dan firman Allah bermaksud:

Dan (katakanlah wahai Muhammad kepada pengikut-pengikutmu): Apa jua perkara agama yang kamu berselisihan padanya maka hukum pemutusnya terserah kepada Allah; Hakim yang demikian kekuasaanNya ialah Allah Tuhanku; kepadaNyalah aku berserah diri dan kepadaNyalah aku rujuk kembali (dalam segala keadaan). (Asy-Syura, Ayat: 10).

Begitu juga firman Allah bermaksud:

Dan sesiapa yang tidak menghukum dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah (kerana mengingkarinya), maka mereka itulah orang-orang yang kafir. (Al-Maaidah, Ayat: 44).

Firman Allah bermaksud:

Dan sesiapa yang tidak menghukum dengan apa yang telah diturunkan Allah, maka mereka itulah orang-orang yang zalim. (Al-Maaidah, Ayat: 45).

Firman Allah bermaksud:

Dan sesiapa yang tidak menghukum dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah, maka mereka itulah orang-orang yang fasiq. (Al-Maaidah, Ayat: 47).

Apabila menegakkan masyarakat Islam dan melaksanakan hukum-hukum yang diturunkan oleh Allah itu hukumnya wajib maka kerja-kerja yang membawa kepada kewujudan masyarakat Islam dan terlaksananya hukum Allah turut menjadi wajib berdasarkan kaedah syarak bermaksud:

‘Sesuatu perkara yang tidak dapat disempurnakan sesuatu yang wajib melainkan dengannya, maka ia menjadi wajib’

Sebahagian besar dari negara-negara (umat) Islam, kalau pun tidak dapat dikatakan seluruhnya diperintah oleh sistem-sistem ciptaan manusia yang merupakan campur aduk dari sistem undang-undang Rumani, Yunan, Perancis dan sebagainya. Demikian juga sistem ekonomi yang menguasai negara-negara tersebut adalah sistem ekonomi Kapitalisme dan Sosialisme. Ini adalah penyebab utama yang mendesak umat Islam supaya menyusun gerak-kerja untuk meruntuhkan sistem jahiliah dalam bentuk seperti ini dan kewajipan mengembalikan kehidupan Islam adalah menjadi fardu ain ke atas setiap muslim sehingga kepimpinan dan kekuasaan kembali ke pangkuan Islam.

Selain dari itu masih banyak kewajipan-kewajipan syariah yang perlaksanaan dan amalannya bergantung kepada adanya khalifah atau Imam sedangkan pelantikan Khalifah (Imam) itu sendiri sangat bergantung kepada wujudnya kekuasaan Islam. Oleh itu seluruh undang-undang yang berkaitan dengan sistem-sistem Islam sama ada di dalam bidang kemasyarakatan, ekonomi, politik malah kesemua undang-undang yang berkadengan hukum, kanun keseksaan, perdamai, peperangan, jihad, gencatan senjata, perjanjian damai, muamalat, kemasyarakatan dan ekonomi, semuanya ini dan sebagainya adalah di antara bidang-bidang Syariat Islam yang tidak mungkin terlaksana kecuali melalui sebuah negara yang teguh di atas dasar-dasar Islam.

Ketiga: Wajib Dari Sudut Tuntutan (Darurat).


Beramal dan bekerja untuk Islam juga merupakan satu kewajipan jika dilihat dari sudut tuntutan untuk menghadapi cabaran-cabaran zaman kini dan serangan musuh-musuh Islam. Ianya adalah satu kewajipan kerana dengannya dapat menyekat penularan fahaman kebendaan dan ateis (tidak percayakan tuhan) yang berusaha menggugat kewujudan Islam.

Sekiranya dilihat dengan pemerhatian yang teliti kepada nasib yang dialami oleh negara-negara umat Islam hari ini maka sudah pasti ia menjadi bukti menguatkan lagi tuntutan tersebut adalah tanggungjawab yang wajib di sisi syariat di mana umat Islam tadi seharusnya berdiam diri dan memandang ringan.

Kita dapati banyak negara-negara (Umat Islam) yang mengadu dan merintih dengan penuh penderitaan kerana dikuasai oleh keserakahan orang-orang bukan Islam (kafir) sebagaimana yang dialami oleh rakyat Palestine, Kashmir, Eitrea, Qibrash, Bukhara, Samarkand dan lain-lain.

Manakala beberapa negara lain pula menderita kerana cengkaman kuasa golongan minoriti yang berniat jahat ke atas umat Islam, mereka memerintahkan Umat Islam dengan kekuatan besi dan api.

Kita dapati juga beberapa bahagian dari negara Umat Islam yang lain mengadu mengenai penderitaan mereka yang disebabkan oleh kekuasaan parti-parti puak kiri (yang terdiri dari sosialis dan komunis) atau puak kanan (yang berkefahaman kapitalis) dalam negara mereka. Begitu juga keadaan hidup di beberapa tempat yang lain yang berada di dalam suasana pertumpahan darah yang hebat hasil dari perebutan kuasa di antara kekuatan puak kiri dan puak kanan.

Selain dari hal-hal yang tersebut di atas, sebenarnya betapa perlunya amal Islami sekalipun secara darurat, dari menyahut cabaran-cabaran dari dalam yang berupa kuncu-kuncu, tali barut dan penyokong musuh Islam. Firman Allah bermaksud:

Dan perangilah mereka sehingga tidak ada lagi fitnah dan (sehingga) menjadilah agama itu seluruhnya (bebas) bagi Allah semata-mata. (Al-Anfaal, Ayat: 39).

Keempat: Wajib Secara Individu Mahupun Jemaah.

Tanggungjawab beramal dan bekerja untuk Islam dari sudut kewajipan syarak (taklifi) adalah satu tanggungjawab ke atas individu (fardi) sama seperti kewajipan-kewajipan dan tanggungjawab syariat yang lain di mana ganjaran pahala diberikan apabila dilaksanakan tanggungjawab tersebut dan dibalas dengan dosa apabila ia ditinggalkan.

Firman Allah s.w.t bermaksud:

Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui kedahsyatan Neraka Saqar itu? (Surah Al-Muddaaththir, Ayat: 27).

Firman Allah lagi bermaksud:

Dan mereka masing-masing akan datang mengadapNya pada hari kiamat dengan seorang diri. ( Maryam, Ayat: 95).

Firman Allah lagi bermaksud:

Jika kamu berbuat kebaikan, (maka faedah) kebaikan yang kamu lakukan adalah untuk diri kamu. (Al-Israa’, Ayat: 7).

Firman Allah lagi bermaksud:

Dan seseorang yang boleh memikul, tidak akan memikul dosa perbuatan orang lain (bahkan dosa usahanya sahaja). (Al-An’aam, Ayat: 164)

Firman Allah lagi bermaksud:

Dan sesiapa yang berjuang (menegakkan Islam) maka sesungguhnya dia hanyalah berjuang untuk kebaikan dirinya sendiri. (Al-’Ankabuut, Ayat: 6).

Supaya orang lain itu semuanya turut serta dalam kerja-kerjanya membina masyarakat dan memakmurinya iaitu dengan membina kehidupan masyarakat atas dasar kebenaran (Al-Haq) dan memakmurkan dengan kebaikan, maka Islam telah menentukan ke atas setiap orang Islam bertanggungjawab memberikan khidmat dan pengorbanan mereka untuk Islam mengikut batas kemampuan masing-masing, selama mana insan itu berada dalam keadaan baligh, akal yang sihat dan ada kemampuan. Dari pengorbanan seperti ini akan menjadikan masyarakat Islam itu sebagai sel yang hidup dan bernyawa dalam badan. Setiap individu dalam masyarakat ini akan memberikan sesuatu malah mereka berlumba-lumba untuk berkorban.

Dari kenyataan di atas jelaslah bahawa kewajipan beramal dan bekerja untuk menegakkan Islam oleh individu adalah sama seperti kewajipan-kewajipan syarak yang lain iaitu ia adalah satu kewajipan Islam.

Oleh kerana beramal dan bekerja untuk Islam adalah kewajipan individu (fardi) dari sudut ini maka ia juga adalah satu kewajipan secara jama’ie (organisasi) apabila dilihat dari sudut tanggungjawab gerakan dan dari sudut perlaksanaannya. Kenyataan ini dibuktikan oleh realiti-realiti yang berlaku dan keadaan-keadaan yang pada dasarnya tidak dapat dipertikaikan lagi.

Di antara realiti-realiti tersebut ialah:

1. Sebenarnya taklif atau tanggungjawab beramal dan bekerja untuk Islam adalah satu tanggungjawab yang sangat berat untuk dipikul oleh orang perseorangan kerana matlamat amal Islami adalah untuk meruntuhkan jahiliah hingga ke akar umbinya lalu di atas runtuhan itulah ditegakkan Islam. Tugas yang berat ini menurut pengorbanan, kemampuan dan kesanggupan yang tidak mampu dilakukan secara perseorangan bahkan tugas ini tidak mampu dipikul sekalipun dengan memerah seluruh tenaga, kegigihan dan kesanggupan menghadapi segala penderitaan. Tanggungjawab ini hanya mampu dipikul oleh gerakan yang tersusun, yang memiliki kadar kemampuan yang setimpal dari sudut kesedaran, penyusunan dan kekuatan dalam menghadapi jahiliah yang wujud.

2. Sesungguhnya usaha kerja Rasulullah s.a.w dalam rangka menghadapi serangan jahiliah dan kemudiannya menegakkan masyarakat Islam serta mengembalikan kehidupan mengikut lunas-lunas Islam merupakan dalil dan bukti bekerja secara berjemaah untuk menegakkan Islam adalah wajib. Oleh yang demikian Rasulullah s.a.w tidak menggunakan cara bekerja secara individu di dalam bertindak, malah sejak dari awal-awal lagi baginda begitu mengambil berat kepada usaha-usaha menubuhkan jemaah dengan memilih anasir-anasir pembinaannya dangan teliti. Kemudian baginda s.a.w membentuk dan membersihkan mereka sehingga menjadi satu kekuatan dalam proses perubahan yang baginda s.a.w lakukan.

Inilah yang telah dibuktikan oleh perjalanan sirah Rasulullah s.a.w dalam setiap peringkat dan lapangan.

3. Selain dari itu amal dan gerak kerja untuk menegakkan Islam dipenuhi dengan halangan ranjau dan duri, ujian dan cubaan. Halangan-halangan yang menunggu di jalannya sangatlah banyak. Kuasa-kuasa asing yang saban waktu menunggu kesempatan memukul umatnya juga adalah banyak. Semua cabaran-cabaran ini menuntut kewujudan sebuah tanzim haraki (penyusunan gerakan jemaah) yang menyeluruh dari sudut kualiti dan kuantiti untuk menghadapi segenap peringkat amal, suasana persekitaran serta kemungkinan-kemungkinan yang mendatang.

Dari ayat-ayat Al-Quran dan hadis-hadis Nabi s.a.w terdapat banyak dalil-dalil yang secara nyata menunjukkan beramal secara berjemaah yang kemas tersusun untuk menegakkan Islam adalah merupakan satu perkara penting.

Allah s.w.t berfirman bermaksud:

Dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. (Surah Al-Maaidah, Ayat: 2).

Kelima: Ganjaran Jihad Adalah Untuk Mujahid Itu Sendiri.

1. Sejak awal-awal lagi para petugas yang bekerja untuk Islam mestilah memahami secara mendalam bahawa merekalah yang sebenarnya memerlukan Islam. Sewaktu mereka bekerja, berjihad dan berjuang, bererti mereka bertindak membersihkan diri dan jiwa mereka sendiri di samping menunaikan sebahagian dari hak-hak Allah ke atas mereka supaya mereka memperolehi ganjaran dari sisi Allah di hari kiamat kelak, hari di mana pandangan menjadi tunduk merendah dan hati menjadi bergetar kerana dilanda ketakutan ditimpa azab.

Mereka inilah yang beruntung sekiranya mereka mara beramal dan merekyang rugi sekiranya mereka berundur dan berpaling tadah.

Allah s.w.t berfirman bermaksud:

Dan sesiapa yang berjuang (menegakkan Islam) maka sesungguhnya dia hanyalah berjuang untuk kebaikan dirinya sendiri; sesungguhnya Allah Maha Kaya (tidak berhajatkan sesuatupun) daripada sekalian makhluk. (Al-Ankabuut, Ayat: 6).

Allah s.w.t juga berfirman bermaksud:

Dan jika kamu berpaling (daripada beriman, bertakwa dan berderma) Dia akan menggantikan kamu dengan kaum yang lain; setelah itu mereka tidak akan berkeadaan seperti kamu. (Surah Muhammad, Ayat: 38).

2. Mereka juga mesti memahami bahawa nilai dan harga diri mereka sebenarnya adalah kerana pegangan mereka kepada Islam. Mereka tidak mempunyai apa-apa nilai sekiranya tidak bersama Islam (sama seperti binatang bahkan lebih sesat dari itu). Kemuliaan dan ketinggian mereka yang sebenarnya tidak akan tercapai melainkan dengan mereka menggembleng tenaga dan melibatkan diri di dalam jemaah Islam yang memperjuangkan Islam dan terus kekal dalam jemaah yang berkenaan. Sesiapa yang mengasingkan diri dia akan keseorangan di dalam azan neraka. Sesiapa yang menyatukan dirinya secara benar dengan kumpulan tersebut bererti dia telah bergabung dengan nasab keturunan yang mulia mengikat diri dengan golongan yang mendapat petunjuk, yang terdiri daripada para Nabi dan para syuhada yang mendapat nikmat di sisi Allah s.w.t.

3. Para petugas amal Islami juga mesti menyedari bahawa terus kekal bersama dengan jemaah adalah syarat bagi mendapat pendirian yang teguh sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w:

“Sesungguhnya serigala itu hanya akan dapat memakan kambing yang tersisih (dari kumpulannya)”.

Masyarakat yang dipenuhi dengan fitnah tidak ubah seperti malam yang gelap-gelita. Manusia tidak mungkin dapat menjalani kehidupan dengan sempurna atau tidak terjejas dengan kesan-kesan kotoran masyarakat tersebut sekiranya tidak menerima peringatan, nasihat dan ingat memperingati.

bermaksud:

Dan tetap tekunlah engkau memberi peringatan, kerana sesungguhnya peringatan itu mendatangkan faedah kepada orang-orang yang beriman. (Az-Zaariyaat, Ayat: 55).

Allah s.w.t berfirman lagi bermaksud:

Demi Masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar. (Al-Asr, Ayat: 1 – 3).

Oleh yang demikian mereka mestilah hidup di bawah satu naungan keluarga yang beriman. Mereka mestilah bersama-sama dengan pasukan Tuhan yang Maha Pengasih dan terus hidup bersama mereka buat selama-lamanya.

Allah s.w.t berfirman bermaksud:

Dan jadikanlah dirimu sentiasa berdamping rapat dengan orang-orang yang beribadat kepada Tuhan mereka pada waktu pagi dan petang, yang mengharapkan keredaan Allah semata-mata dan janganlah engkau memalingkan pandanganmu daripada mereka hanya kerana engkau mahukan kesenangan hidup di dunia dan janganlah engkau mematuhi orang yang Kami ketahui hatinya lalai daripada mengingati dan mematuhi pengajaran Kami di dalam Al-Quran, serta dia menurut hawa nafsunya dan tingkah-lakunya pula adalah melampaui kebenaran. (Surah Al-Kahfi, Ayat: 28).

4. Para petugas amal Islami juga mestilah benar-benar memahami bahawa mereka beramal dengan bekerja semata-mata kerana Allah dan berjihad pada jalannya. Mereka juga mesti memahami bahawa jalan ini adalah jalan yang paling jauh, penuh dengan kesukaran. Sesungguhnya syurga itu dikelilingi oleh perkara-perkara yang tidak diingini manakala mereka pula dilingkungi oleh perkara-perkara yang menarik syahwat.

Jalan ini merupakan satu jalan yang tidak sanggup dilalui oleh mereka yang hidup dalam suasana mewah, mereka yang bimbang akan kesempitan rezeki dan kemewahan hidup. Jalan ini juga tidak akan sanggup dilalui oleh orang yang mementingkan kerehatan dan mengikut runtunan nafsu, tidak akan sanggup dilalui oleh orang yang sempit dada dan tidak memiliki kekuatan, tidak akan sanggup dilalui oleh mereka yang tidak sabar menghadapi cemuhan dan cacian, apatah lagi pengorbanan wang ringgit dan harta benda, tidak akan sanggup dilalui oleh mereka yang berpegang dan berkeras dengan pendapat sendiri sahaja sedangkan dia sendiri tidak mengetahui bahawa ia tidak mengerti (kedudukan yang sebenarnya) dan jalan ini juga tidak sanggup dilalui oleh mereka yang tidak bersedia untuk tunduk kepada keputusan jemaah dan tidak sanggup pula beriltizam dengan pandangan-pandangan jemaah.

Sesungguhnya jalan ini adalah jalan pembersihan jiwa, penyucian hati dan pengawalan diri, jalan kerahmatan dan kemuliaan. Jalan kesabaran dan ketetapan, jalan kebebasan dan kehormatan dan jalan kebenaran dan keikhlasan. Sesungguhnya jalan yang mempunyai sifat-sifat seperti ini tidak akan sanggup dilalui melainkan oleh orang-orang mukmin yang hati-hati mereka mempunyai ikatan yang kukuh dengan Allah yang Maha Esa, yang menggantungkan harapan dan pertolongan kepadanya.

Allah s.w.t berfirman bermaksud:

Dan (Ingatlah), sesiapa berserah diri bulat-bulat kepada Allah, maka Allah cukuplah baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya). Sesungguhnya Allah tetap melakukan segala perkara yang dikehendakiNya. Allah telahpun menentukan kadar dan masa bagi berlakunya tiap-tiap sesuatu. (At-Talaaq, Ayat: 126).

Allah s.w.t berfirman lagi bermaksud:

Oleh itu, sesiapa yang tidak menyempurnakan janji setianya maka bahaya tidak menyempurnakan itu hanya menimpa dirinya dan sesiapa yang menyempurnakan apa yang telah dijanjikannya kepada Allah, maka Allah akan memberi kepadanya pahala yang besar. (Al-Fath, Ayat: 10).

Majlis Syura Ulamak PAS : Matlamat Bersih Demi Keselamatan Negara


Oleh : Majlis Syura Ulamak PAS

Mukadimah

Demonstrasi Bersih 3.0 telah berlansung dengan jayanya sekalipun berlaku beberapa insiden yang sengaja dirancang oleh pihak tertentu agar ianya dianggap bercanggah dengan kehendak rakyat. Lantaran itu timbullah isu berkenaan hukum demonstrasi sama ada haram atau wajib. Kenyataan dari MAJLIS SYURA ‘ULAMA sengaja dilewatkan sedikit supaya suasana kembali tenang dan semua dapat membacanya dengan hati yang terbuka dan berlapang dada.

Tulisan ini akan cuba merungkaikan permasalahan ini dari segi tujuan demonstrasi serta asasnya di dalam sunnah dan sejarah Islam bagi membuang kekeliruan yang sering menghantui golongan yang cintakan keadilan dan bencikan kezaliman.

Realiti Demontrasi Dari Perspektif Dunia Moden

Demonstrasi adalah salah satu cara makluman kepada awam mengenai ketidak puasan hati terhadap sesuatu kezaliman, penyelewengan, penyalahgunaan kuasa dan lain-lain setelah cara lisan tidak diendahkan oleh pihak berkuasa. Dalam dunia demokrasi hari ini, demontrasi adalah sesuatu yang biasa berlaku di mana-mana negara demokrasi kerana ia adalah wasilah sesetengah golongan memberitahu kepada kerajaan dan rakyat khususnya apabila suara mereka cuba ditenggelamkan atau dimanipulasi oleh pihak yang berkuasa.

Dalam konteks Malaysia hari ini demontrasi ‘duduk dan bantah’ adalah salah satu cara terbaik menjatuhkan kezaliman khususnya sebagaimana yang telah berlaku di Mesir. Demonstrasi yang baik ialah demonstrasi aman, bersih dan tidak dicemari oleh unsur-unsur negatif. Malangnya, sebagaimana yang berlaku pada permulaan demonstrasi di Mesir, demonstrasi dicemari oleh tangan-tangan kotor pihak keselamatan polis dengan melakukan provokasi sehingga berlaku pertempuran kecil antara penunjuk perasaan dan pihak berkuasa.

Walau bagaimanapun, adalah menjadi satu kesalahan dalam kontek negara demokrasi apabila pihak parti pemerintah menggunakan jentera kerajaan menghalang demokrasi aman dengan menggunakan jentera kerajaan kerana jentera kerajaan bukan milik parti pemerintah, tetapi ia juga adalah milik rakyat yang melakukan demonstrasi itu sendiri.

Apa yang diperkatakan di atas adalah realiti mukadimah tentang demonstrasi dari perspektif demokrasi dan realiti demonstrasi yang telah menumbangkan kerajaan yang zalim. Apa yang hendak difokuskan di sini ialah demonstrasi dari perspektif hukum Syariat.

Hukum Asal Demonstrasi

Demonstrasi adalah wasilah untuk menzahirkan sesuatu perasaan, tuntutan, bantahan dan seumpamanya. Demonstrasi pada asasnya tidak mempunyai hukum sama ada haram, wajib, sunat, harus atau makruh kerana ketiadaan dalil yang spesifik mengenainya. Hukumnya akan wujud bergantung kepada sebab ianya diadakan. Jika tujuannya baik dan penting, maka hukumnya boleh jadi wajib atau sunat. Jika tujuannya selain dari kebaikan dan kepentingan umat, maka hukumnya sama ada haram atau makruh.

Sama seperti pisau dan pedang, pemilikan dan pembeliannya tidak mempunyai hukum sama ada wajib, sunat, harus, haram atau makruh. Jika pembeliannya untuk tujuan yang wajib atau sunat, maka hukumnya adalah hukum tujuan tersebut. Dan begitulah sebaliknya, jika pembeliannya mempunyai tujuan yang lain, maka hukumnya adalah hukum tujuan tersebut.

Apabila seseorang isteri atau suri rumah membeli pisau yang baik dan tajam bagi memudahkannya menjalankan kewajipan menyediakan makan dan minum keluarga dirumah, maka pembelian pisau tersebut adalah sunat. Jika seseorang membeli pisau bagi tujuan merompak atau menyamun, maka pembelian itu adalah haram.

Begitulah demonstrasi, jika ia diadakan bertujuan yang baik dan murni, seperti mencegah kemungkaran yang besar yang tiada jalan lain melainkan dengan demonstrasi, maka hukumnya adalah wajib. Jika demonstrasi diadakan bagi tujuan yang bercanggah dengan ajaran Islam, seperti menyertai demonstrasi untuk menuntut kebebasan seksual, maka hukumnya adalah haram.

Oleh sebab demonstrasi boleh digunakan sebagai wasilah kebaikan dan wasilah kejahatan, maka ianya tidak mempunyai hukum tersendiri bahkan hukumnya dipengaruhi oleh tujuan dan matlamat demonstrasi itu diadakan. Bagi seseorang ulama di dalam menentukan hukum demonstrasi, mereka hendaklah melihat punca sebenar yang menyebabkan tercetusnya demontrasi tersebut. Penekanan yang perlu dibuat oleh mereka sebelum menentukan hukumnya halal dan haram tidak boleh hanya dilihat hanya kepada pihak kerajaan yang membayar gaji bulanan dan hanya membuka sebelah mata sahaja, tanpa merujuk kepada realiti sebenar yang berlaku dalam sistem pilihan raya sejak sekian lama. Begitu juga dengan kebebasan bersuara melalui media arus perdana yang biasa digunakan oleh semua negara-negara maju dalam dunia demokrasi hari ini. Kebebasan ini bukan sekadar demokrasi, malah ia merupakan tuntutan Islam itu sendiri.

Demonstrasi sebagai wasilah Amar Makruf dan Nahi Mungkar

Syariat menggesa umatnya supaya nasihat menasihati di antara satu sama lain. Sebagaimana sabda Nabi Sallallahu ‘Alaihi Wasallam:

Maksudnya: Agama itu adalah nasihat. Sahabat bertanya: Untuk siapakah nasihat itu? Nabi menjawab: Untuk Allah, kitabnya, rasulnya, pemimpin-pemimpin orang Islam dan umat Islam keseluruhannya.

Bersama-sama kewajipan memberikan nasihat dan amar makruf, bersama itu juga terdapat kewajipan yang serangkai iaitu kewajipan mencegah kemungkaran. Kewajipan ini jelas daripada dalil yang banyak. Di antaranya ialah firman Allah: Maksudnya: dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam), dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji). dan mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang berjaya. – (Aali-Imran: 104).

Bahkan Allah pernah melaknat sekumpulan Bani Israel suatu ketika dahulu kerana mereka tidak menyuruh yang makruf dan tidak mencegah kemungkaran, sekalipun mereka menyeru kepada kebaikan.

Firman Allah SWT: Maksudnya: Orang-orang kafir Yahudi dari Bani Israil telah dilaknat (di dalam Kitab-kitab Zabur dan Injil) melalui lidah Nabi Daud dan Nabi Isa Ibni Maryam. Yang demikian itu disebabkan mereka menderhaka dan selalu menceroboh. Mereka sentiasa tidak berlarang-larangan (sesama sendiri) dari perbuatan mungkar (derhaka dan ceroboh), yang mereka lakukan. Demi Sesungguhnya amatlah buruk apa yang mereka telah lakukan.

Firman Allah Ta’ala lagi yang bermaksud: Dan janganlah kamu cenderung kepada orang-orang yang berlaku zalim maka (kalau kamu berlaku demikian), api neraka akan membakar kamu, sedang kamu tidak ada sebarang penolong pun yang lain dari Allah. Kemudian (dengan sebab kecenderungan kamu itu) kamu tidak akan mendapat pertolongan. – (Hud: 113).

Kepentingan mencegah kemungkaran untuk umat

Di sana terdapat ayat-ayat yang menunjukkan bahawa, jika kemungkaran didiamkan dan tidak dicegah, maka azab dan kesengsaraan bukan sahaja menimpa golongan yang zalim dan penyokongnya, tetapi termasuk orang-orang lain yang baik, tekun melakukan ibadat dan kebajikan.

Firman Allah swt: Maksudnya: Dan penduduk negeri-negeri (yang derhaka) itu Kami telah binasakan ketika mereka melakukan kezaliman, dan Kami telah tetapkan satu masa yang tertentu bagi kebinasaan mereka. – (Al-Kahfi: 59).

Firman Allah Ta’ala lagi: Maksudnya: Dan apabila sampai tempoh Kami hendak membinasakan penduduk sesebuah negeri, Kami perintahkan (lebih dahulu) orang-orang yang melampau dengan kemewahan di antara mereka (supaya taat), lalu mereka menderhaka dan melakukan maksiat padanya; maka berhaklah negeri itu dibinasakan, lalu Kami menghancurkannya sehancur-hancurnya. – (Al-Isra’: 16).

Di samping ayat di atas yang menunjukkan kelayakan azab bagi golongan yang zalim, di sana juga terdapat ayat yang menunjukkan bahawa azab akan tertangguh selagi mana ada golongan pengislah, iaitu golongan yang menentang kezaliman tersebut. Firman Allah swt yang bermaksud:

Dan Tuhanmu tidak sekali-kali hendak membinasakan mana-mana negeri dengan sebab kezaliman penduduknya, selagi mereka sentiasa memperbaiki keadaan sesama sendiri. – (Hud: 117).

Ini menunjukkan, kewujudan golongan pengislah atau penentang kezaliman dapat menyelamatkan umat daripada dibinasakan oleh azab. Golongan penasihat (An-Naasihun) tidak sama dengan golongan pengislah (Al-Muslihun), di mana nasihat tanpa muslihun tidak boleh mengelakkan umat dari ditimpa oleh azab disebabkan kezaliman pemerintah dan penyokong-penyokongnya.

Selain daripada ayat-ayat suci Al-Quran di atas, di sana terdapat banyak hadis-hadis yang menunjukkan kewajipan melaksanakan amar makruf dan nahi mungkar.

Antaranya ialah sabda Nabi Sallallahu ‘Alaihi Wasallam: Maksudnya: barangsiapa yang melihat kemungkaran, maka hendaklah ia mencegah dengan tangannya, jika ia tidak mampu maka dengan lidah, jika ia tidak mampu juga, maka hendaklah dicegah dengan hatinya. Mencegah dengan hati itu adalah selemah-lemah iman. – (Hadis riwayat Muslim).

Demonstrasi Di Dalam Sirah Dan Sejarah Islam

Apabila kita meneliti hadis dan kitab-kitab sejarah, di samping wasilah amar makruf dan nahi mungkar, demonstrasi sebagai wasilah menentang kezaliman dan kejahatan yang sengaja disembunyikan oleh si zalim bukanlah sesuatu yang baru.

Antara dalilnya daripada hadis Nabi Sallallahu ‘Alaihi Wasallam :

1. Di dalam Sohih Al-Mawarid, terdapat hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah oleh Abu Daud di dalam sunannya dan juga oleh Ibnu Hibban di dalam sahihnya, bahawa seorang lelaki telah datang menemui Rasulullah saw dan berkata: “Wahai Rasulallah, aku mempunyai jiran yang sentiasa menyakitiku.” Nabi berkata: “bersabarlah” sebanyak 3 kali. Sahabat tadi terus mengadu perkara yang sama (menunjukkan ia tidak tahan dengan perbuatan menyakiti oleh jirannya). Kemudiannya Nabi bersabda: “pergilah dan lemparkan barangan kamu di jalanan.” Sahabat tadi mengambil barangannya dan diletakkan di jalanan (sebagaimana yang dicadangkan oleh Nabi Sallallahu ‘Alaihi Wasallam) sehingga orang ramai mengerumuninya dan bertanya: “kenapa dengan kamu?”. Lelaki tadi menjawab: “aku mempunyai jiran yang sentiasa menyakitiku” dan ia menceritakan apa yang dilakukan oleh jirannya. Orang ramai mula melaknati jirannya. Akhirnya, jiran yang zalim tadi datang memintanya pulang ke rumah dan bersumpah dengan nama Allah bahawa dia tidak akan menyakitinya lagi. - (Hadis riwayat Abu Daud dan Ibnu Hibban. Al-Albani menyatakan bahawa hadis ini adalah hadis yang sahih).

Hadis ini jelas menunjukkan kepada kita, bahawa sahabat tadi dicadangkan oleh Nabi Sallallahu ‘Alaihi Wasallam supaya berada di jalanan dengan barangannya untuk menarik perhatian dan memberitahu orang ramai tentang kezaliman tersembunyi jirannya. Jika kepentingan individu boleh mengharuskan sahabat tadi berada di jalanan, maka kepentingan awam yang melibatkan kezaliman yang disembunyikan oleh pemerintah lebih utama untuk dianjurkan perkara yang sama.

1. Daripada Ibnu Umar R.A. pernah bersabda: “Jangan kamu memukul dayang-dayang (hamba-hamba perempuan) Allah.” Hadis ini bersempena dengan kedatangan seramai 70 orang wanita datang ke rumah Nabi SAW. Setiap mereka datang mengadu perihal suami mereka yang suka memukul mereka.

Hadis ini juga menunjukkan bahawa, isteri-isteri yang mempunyai masalah yang sama (mempunyai suami yang suka memukul) datang beramai-ramai berjumpa dan mengadu kepada Nabi Sallallahu ‘Alaihi Wasallam dan meminta pembelaan. Justeru itu, Nabi mengeluarkan sabda dan arahan supaya jangan memukul isteri dan seterusnya Nabi menceritakan kepada sahabat-sahabat lain tentang peristiwa isteri-isteri yang datang berdemonstrasi meminta pembelaan.

Hadis ini menunjukkan bahawa para isteri berdemonstrasi menuntut supaya mereka dibela daripada kezaliman suami mereka. Nabi mengiktiraf apa yang dilakukan oleh kumpulan isteri-isteri tadi bahkan menyokong dan membela mereka dengan mengeluarkan arahan bukan sahaja kepada mereka, bahkan kepada umat Islam keseluruhannya supaya jangan memukul isteri.

Dr. Saoud Al-Nafiisan berkata: “Apabila perempuan-perempuan di zaman Nabi Sallallahu ‘Alaihi Wasallam keluar secara berkumpulan dan berseorang pada satu malam mengadu tentang perihal suami mereka yang memudaratkan (suka memukul), bukankah ini demonstrasi aman? Apakah perbezaan antara peristiwa ini berbanding keluarnya bilangan seperti itu, atau bilangan yang lebih sedikit atau lebih ramai, sama ada pada hari ini atau hari esok, (berdemonstrasi) di hadapan Kementerian Keselamatan Dalam Negeri atau Kementerian Keadilan atau Mahkamah Syariah atau Pusat Fatwa menuntut untuk berfungsi (sebagaimana sepatutnya), menuntut supaya kezaliman pemerintah dihapuskan, menuntut dihapuskan sekatan-sekatan untuk mereka berkahwin, menuntut supaya anak-anak dan suami-suami yang dipenjarakan tanpa tempoh kesudahan dan tanpa dibicarakan. Apabila wanita-wanita di zaman Nabi diharuskan untuk berbuat demikian (berdemonstrasi), maka apakah yang menghalang golongan lelaki (bukan sahaja wanita untuk berbuat benda yang sama?). Katakanlah kebenaran wahai golongan yang dipelihara oleh Allah!!!”.

Selain daripada dua hadis sahih di atas, di sana juga terdapat sejarah yang menunjukkan bahawa demonstrasi juga berlaku di dalam pemerintahan Islam. Antaranya adalah seperti berikut:

1. Di dalam kitab Al-Kamil Fi At-Taarikh menceritakan, setelah Palestin ditawan oleh tentera Salib, penduduk Halab (terletak di Syria pada hari ini) berarak ke Baghdad (pusat khalifah) berdemonstrasi memprotes kelembapan khalifah bertindak terhadap tentera Salib di Palestin. Mereka menuju ke Baghdad melalu jalan pelbagai. Apabila semua mereka sampai di Baghdad, mereka mula berkumpul beramai-ramai yang akhirnya bukan sahaja disertai oleh penduduk Halab, tetapi ia juga disertai oleh pelbagai pihak termasuk para Fuqaha’ dan ulama’. Setelah mereka berkumpul, mereka mula menuju ke Masjid Sultan. Setelah mereka berdemonstrasi, sultan pada masa itu berjanji untuk menggerakkan tentera berjihad membebaskan Palestin tetapi para penunjuk perasaan perasaan terus berdemonstrasi (duduk dan bantah dan mereka tidak akan bersurai) sehingga kerajaan benar-benar melaksanakan tuntutan mereka (untuk selamatkan Palestin). Demonstrasi berterusan sehingga masuk ke Jumaat seterusnya dan mereka mula bergerak menuju ke Istana Sultan. Mereka bukan sahaja lagi disertai oleh penduduk Halab, tetapi penduduk Baghdad juga mula menyertai demonstrasi tersebut. Apabila mereka sampai di Istana, mereka dihalang masuk oleh pengawal (iaitu polis dalam kontek moden) lalu akhirnya mereka dapat merempuh sekatan tersebut seterusnya mereka merempuh pintu (istana).

Dr Ali Qurrah Daaghi , Setiausaha Majlis Ulama Antarabangsa, menyebut di dalam Mukaddimah Tahqiq kitab Al-Wasit: “tindakan penduduk Halab yang disertai oleh ulama-ulama pada zaman itu adalah pengisytiharan perang terhadap pemerintah yang tidak melaksanakan kewajiban umat Islam dan pemimpin yang sibuk menjaga kedudukan berbanding berjihad dan perkara-perkara yang dialami oleh orang Islam.”.

1. Dr. Muhammad Al-Jaabiri di dalam kitabnya Ibnu Rusyd: Sejarah dan Pemikiran menceritakan bahawa, penduduk Cordova (di Sepanyol pada hari ini) di zaman pemerintahan Islam telah menganjurkan demonstrasi bantahan terhadap pemerintah di sana. Demonstrasi itu berlaku disebabkan bantahan mereka terhadap seorang askar yang telah mencabul kehormatan seorang wanita Cordova. Demonstrasi itu seterusnya dapat menukar pemerintah tersebut dan seterusnya mereka melantik kumpulan hakim yang diketuai oleh Ibnu Hamdin.

Peranan demonstrasi di dunia moden

Di dalam dunia moden, demonstrasi adalah sebahagian cara yang boleh dijadikan wasilah mencegah kezaliman dan menegakkan yang makruf. Ia bukan sahaja berlaku di negara-negara demokrasi yang bebas, tetapi juga ia sudah berlaku di negara-negara ‘demokusi’, iaitu negara yang mengisytiharkan sebagai negara demokrasi, tetapi mengambil pendekatan kuku besi. ‘Demokusi’ adalah istilah ringkasan antara demokrasi dan kuku besi.

Kejayaan demokrasi bukan sahaja lagi sebagai menuntut keadilan, bahkan kuasa demonstrasi pada zaman ini boleh menggulingkan kerajaan zalim dan jahat khususnya setelah kejatuhan regim Zainal Abidin di Tunisia dan Husni Mubarak di Mesir.

Demokrasi aman adalah cara terbaik sebagai wasilah mencegah kemungkaran, khususnya kemungkaran yang tersembunyi yang dilakukan pihak kerajaan, atau kemungkaran yang hanya difahami oleh segelintir kecil dan tidak difahami oleh segelintir yang lain.

Kepentingan demokrasi dilihat lebih berperanan khususnya apabila kerajaan dalam negara Demokusi seperti Malaysia yang mana beritanya dikawal, disekat dan dimanipulasi sehinggakan rakyat kebanyakan tidak dapat memahami realiti sebenar disebalik tindakan-tindakan kerajaan dan agensi-agensinya yang boleh membahayakan negara.

Dalam negara maju yang mengamalkan demokrasi tulen semua pihak boleh bercakap di media cetak dan elektronik, maka demantrasi amat tidak releven. Adapun realiti di Malaysia sangat berbeza, kerana media cetak dan elektronik dikekang, suara mereka yang membantah pemerintah ditapis, kebimbangan mereka terhadap keselamatan negara disekat dari diketahui umum, isi komentar mereka dimanipulasi oleh media, maka keadaan ini lebih utama untuk mereka keluar ke jalanan bagi memberitahu umum tentang sesuatu perkara yang menjadi kepentingan awam.

Jika di zaman Rasululullah sebagaimana yang diceritakan di atas, kepentingan dan hak peribadi seorang jiran yang dizalimi oleh jirannya yang lain, kezaliman yang ditutup oleh si zalim, kezaliman yang hanya dirasai oleh seorang yang dizalimi, dibenarkan oleh Nabi untuk berdemonstrasi bagi menarik dan memberitahu orang ramai tentang kejahatan jirannya, guna bertujuan untuk mencegah kezaliman sekalipun ianya kezaliman ke atas seorang individu. Di zaman negara Demokusi, kejahatan dan kezaliman kerajaan yang hanya diketahuui dan difahami oleh segelintir masyarakat, kejahatan dan kezaliman yang ditutup dengan pelbagai akta seperti OSA dan sebagainya, kejahatan yang tidak mampu didedahkan dan difahamkan kepada masyarakat awam justeru media yang dikekang dan disekat, maka demonstrasi adalah lebih utama sebagai wasilah, guna bagi mencegah kemungkaran tersebut. Apatah lagi kejahatan dan kezaliman kerajaan yang boleh melibatkan keselamatan negara, maka ianya lebih utama untuk diguna pakai sebagai wasilah pencegahan.

Apakah matlamat Bersih diadakan?

Sebagaimana yang dinyatakan di atas, hukum demonstrasi sama ada halal atau haram bukan dilihat kepada alat wasilah itu sendiri, atau dengan kata lain tidak boleh diukur kepada keluar ke jalanan membawa sepanduk sahaja, tetapi tujuan demonstrasi Bersih itu diadakan adalah menjadi kayu ukur kepada haram atau wajib demonstrasi ianya dianjurkan.

Bersih membuat tuntutan terhadap perubahan kepada 8 perkara iaitu, (1) bersihkan senarai undi, (2) mereformasikan undi pos, (3) Gunakan dakwat kekal, (4) Masa kempen minima 21 hari (5) Akses media yang bebas dan adil, (6) Kukuhkan institusi awam, (7) Hentikan rasuah dan (8) Hentikan politik kotor.

Kelapan-lapan tuntutan ini bukan sahaja tiada satu pun yang bercanggah dan haram di dalam Islam bahkan sebahagiannya adalah tuntutan Islam dan sebahagian yang lain pula adalah menjadi instrumen kepada keadilan yang lebih terjamin. Sampai hari ini, kerajaan tiada sebab untuk menolak dan tidak melaksanakan tuntutan ini melainkan hanya bersebabkan ianya sengaja dilakukan oleh pihak UMNO dan BN bagi menjamin penerusan kuasa mereka secara kotor.

Matlamat Bersih demi keselamatan negara

Apa yang lebih penting, demonstrasi bersih mempunyai tujuan yang sangat penting. Hari ini terlalu banyak bantahan yang dibuat terhadap daftar pengundi rakyat asing yang hanya dipandang sepi oleh pihak kerajaan yagn dikawal sepenuhnya oleh UMNO dan BN.

Isu ini boleh melibatkan isu keselamatan negara yang sepatutnya diambil berat oleh Parti Pemerintah dan kerajaan itu sendiri. Isu warga asing dengan mudah mendapat kerakyatan dengan diberika kad pengenalan oleh pihak Jabatan Pendaftaran Negara, seterusnya dilayakkan mengundi dengan dimasukkan nama-nama mereka di dalam daftar pengundi.

Pihak Bersih berkeyakinan penuh bahawa rakyat yang menyokong UMNO dan BN bukan menyokong secara bundle. Ramai rakyat kebanyakan yang menyokong UMNO atas isu-isu tertentu dan termasuk juga rasuah politik melalui instrumen kerajaan. Tetapi dengan mandat dan kuasa yang diberikan oleh rakyat, UMNO dan BN telah menyalahgunakannya dengan memberikan kerakyatan dan Kad Pengenalan kepada warga asing, seterusnya SPRM melayakkan mereka untuk mengundi di dalam PRU ke 13.

Senarai pertambahan pengundi baru bukan hanya 10 atau 20 orang, tetapi senarainya mencecah ratusan ribu, peningkatan angka yang sangat drastik. Kemungkaran ini bukan setakat kemungkaran yang melibatkan individu, tetapi ia melibatkan keselamatan negara dan isu kedaulatan. Jika di zaman rasulullah, kepentingan individu berkait dengan individu lain dibolehkan untuk berada di jalanan bagi memprotes dan memberitahu awam, maka isu umat dan keselamatan negara ini lebih utama untuk dilakukan protes jalanan setelah segala rundingan dan cara perbincagnan dipandang sepi dan di’ding dong’kan oleh pihak berkenaan.

Maka apakah cara terbaik untuk mencegah UMNO dan BN melalui instrumen kerajaan membahayakan keselamatan negara demi kepentingan mengekalkan kuasa mereka? Rundingan telah diadakan, bantahan telah dibuat, perbincangan telah dilakukan, tak sampai 1 perseribu senarai yang tidak dikenali diluluskan bantahannya oleh SPR? Bakinya lagi bagaimana? SPR mengenakan birokrasi pelbagai bagi melambatkan bantahan, siapakah rakyat yang faham dan tahu? Manakah stesyen televisyen yang boleh memberikan ruang pendedahan kepada mana-mana rakyat sama ada ahli politik, akademik, hatta rakyat pernah ‘tangkap orang asing’ yang diberikan kad pengenalan oleh pihak Jabatan Pendaftaran Negara?

Selain demonstrasi jalanan, apakah lagi instrumen terbaik di dalam realiti Malaysia yang mengamalkan Demokusi bagi memberitahu mereka yang tidak tahu, menyedarkan mereka yang masih tidur, menakutkan mereka yang berkepentingan, menyedarkan semua rakyat supaya bergerak membantah tindakan UMNO dan BN menggunakan instrumen kerajaan yang boleh membahayakan keselamatan negara?

Bersih hanya menuntut hak keadilan dan perubahan ke arah kebaikan di samping menyedarkan rakyat tentang tingkah laku UMNO dan BN melalui jentera kerajaan, bukan menuntut kerajaan ditumbangkan. Justeru itu, dimanakan kezaliman pihak Bersih dan di manakah salahnya pihak bersih?

Ulamak perlu bersatu

Untuk menentukan masa depan Islam dan negara seluruh para alim ulama mestilah mempunyai sikap yang boleh menguntungkan Islam dan menjauhkan diri dari sikap kepentingan diri dan takut untuk berkata benar. Perjuangan untuk mengajak seluruh rakyat kembali kepangkal jalan dan menolak segala kemungkaran merupakan titik untuk para ulama bersatu. Mereka harus peka dengan suasana sekitar seperti sistem pemerintahan yang terpesong jauh dari landasan Islam seperti arak, judi, pelacuran, sistsem kehakiman dan mahkamah, sistem riba, rasuah, penyalahgunaan kuasa dan ratusan lagi yang haram disisi Islam yang perlu di keluarkan fatwa rasmi oleh semua para ulama Islam tanpa rasa takut dan samar. Semua ini berpunca dari silapnya rakyat memilih pemimpin atau disebabkan sistem pilihanraya yang berat sebelah yang membolehkan kemungkaran terus berleluasa.

Bergabung dan menyertai non-muslim dari perspektif Islam

Ada yang berpandangan bahawa PAS tidak sepatutnya menyertai Bersih yang dikepalai oleh Ambiga, seorang peguam yang bukan Islam. Pandangan itu sebenarnya tidak menepati realiti bersih dan hatta tidak bersandarkan kepada nas dan dalil yang tepat.

Bersih bukanlah parti politik atau gabungan parti-parti yang ada. Ianya hanyalah platform sementara yang bersifat NGO bagi membuat tuntutan keadilan pilihanraya bersih, adil dan telus atau dengan kata lain, menentang kezaliman sistem yang terus menerus semakin teruk dari hari ke hari, bulan ke bulan dan tahun ke tahun.

Bagi tujuan menentang kezaliman dan kemungkaran, maka golongan Islam boleh bergabung dengan non-muslim sama ada gabungan itu dalam bentuk orang Islam menjadi panganjur dan membenarkan non muslim menyertainya ataupun bergabung untuk menentang kezaliman dengan gerakan yang telah dianjurkan oleh golongan non-muslim.

Dalilnya keharusan menyertai gerakan atau perjanjian menentang kezaliman sangat jelas daripada hadis nabi SAW yang berbunyi: Maksudnya: sesungguhnya aku menyaksikan bersama bapa-bapa saudaraku satu perjanjian di rumah Abdullah bin Jad’an. Aku menyukainya sebagaimana aku memperolehi humru an-niam (unta terbaik dan termahal). Jika aku diajak untuk menyertainya di zaman islam, nescaya aku menyahutnya. – (Sanad yang sahih menurut kitab Ad-Duraru As-Sunniyyah).

Perjanjian Al-Fudhul adalah perjanjian menentang kezaliman terhadap mana-mana penduduk mekah atau pengunjungnya. Perjanjian Al-Fudhul berlaku di zaman Nabi Sallallahu ‘Alaihi Wasallam masih kanak-kanak dan belum lagi diangkat menjadi rasul. Perjanjian itu sudah pasti satu perjanjian yang dimeterai antara golongan non-muslim kerana Nabi Sallallahu ‘Alaihi Wasallam belum lagi diangkat menjadi rasul. Pengiktirafan Nabi bahawa akan menyertai perjanjian seperti itu jika diajak di zaman Islam, iaitu di zaman beliau sudah menjadi rasul menunjukkan bahawa gabungan dengan non-muslim untuk mencegah dan menentang kezaliman adalah perkara yang bukan menjadi tegahan.

Perlu difahami bahawa Bersih bukan bermakna semua parti dan golongan yang menyertainya akan menerima dasar parti dan badan-badan bukan kerajaan yang menyertainya. PAS hanya menyertai gerakan Bersih bersama-sama dengan parti dan NGO lain atas dasar menentang penyelewengan dan tindakan kerajaan melaluil SPR dan pihak JPN yagn dianggap boleh membahayakan masa depan negara, buka mempunyai perjanjian untuk menerima dasar-dasar yang bercanggah dengan Islam untuk diamalkan di dalam PAS.

Penutup dan Ringkasan Pandangan Majlis Syura Ulama PAS Pusat

Kesimpulan daripada perbincangan ini, apa yang paling penting yang perlu dilihat sebelum mengeluarkan fatwa hukum berkaitan demonstrasi Bersih ialah matlamat demonstrasi itu dan apa yang dituntut oleh Bersih, bukan perbuatan demonstrasi itu sahaja.

Ini kerana, demonstrasi tidak mempunyai hukum tersendiri tetapi hukumnya berubah disebabkan matlamat dan cara perlaksanaanya.

Di dalam perbincangan ini didapati bahawa demonstrasi mempunyai asas yang kuat daripada sunnah dan sejarah Islam sendiri dalam konteks untuk mendapatkan pembelaan dan mencegah kemungkran yang disembunyikan. Oleh itu, demonstrasi bukanlah sesuatu yang asing bagi mereka yang menentang kezaliman dan kemungkaran.

Teknikal menentang kezaliman seperti bergabung dengan non muslim bukanlah isu utama selama mana gabungan itu bukan bermaksud menghakiskan dasar perjuangan yang mengikat gerakan Islam atau dengan kata lain, gabungan yang hanya mengfokuskan tuntutan perlaksanaan keadilan dan menentang kezaliman.

Atas alasan ini, maka MAJLIS SYURA ULAMA PAS melihat demonstrasi Bersih adalah paling sesuai dan sama sekali tidak bercanggah dengan syariat. Ianya amat selari dengan Syariat bagi menegakkan amar makruf dan nahi mungkar, bahkan ianya menjadi wajib apabila tiada cara lain yang lebih berkesan bagi menyekat kemungkaran dan tindakan UMNO dan BN yang membahayakan keselamatan negara dan terus menerus dengan cara kezaliman dan penipuan yang licik bukan sahaja kepada PAS tetapi kepada orang UMNO itu sendiri.

Sekian, Wassalam.

Dipetik dari Harakahdaily

Dewan Muslimat PAS Pusat

Dewan Ulamak PAS Pusat

Dewan Pemuda Pas Pusat

 
Ustaz Abu Bakar Hussain. Design by Wpthemedesigner. Converted To Blogger Template By Anshul Tested by Blogger Templates.