Iklan

Iklan

Gambar-gambar

Monday, 28 May 2012

Bekas Pengarah PDRM Sertai PAS


TAIPING - Bekas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Fauzi Shaari dengan rasminya menyertai Pas pada 20 Mei 2012.

Borang keahlian diserahkan kepada Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang pada Majlis Pengisytiharan Perdana Bekas Pegawai Tertinggi PDRM Sertai Pas di Taman Kota Wira, Ulu Sepetang di sini.

Hadir sama pada majlis itu, Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu dan Pesuruhjaya Pas Perak, Ustaz Abu Bakar Hussain.

Penyerahan borang keahlian disaksikan kira-kira 8,000 ribu penyokong Pakatan Rakyat (PR).

Dalam ucapannya, beliau menjelaskan bahawa tujuan menyertai Pas bukan berniat untuk menjadi calon atau mempunyai kepentingan tertentu, tetapi sekadar mahu membantu usaha ke arah kerja-kerja Islam yang dibawa Pas.

Katanya, kehadiran beliau pada majlis itu juga sebagai pengenalan kepada penyokong dan masyarakat sebelum bergiat aktif selepas ini.

Beliau turut menjelaskan, penyertaan dalam Pas itu dibuat selepas yakin dirinya tidak terlibat dalam sebarang kes jenayah semasa berada dalam pasukan polis.

Fauzi yang berasal dari Pantai Besar, Batu Kurau, Perak menambah, beliau selepas ini akan membantu PR khususnya Pas melalui ceramah-ceramah yang dianjurkan.

Dewan Ulama' : Menjawab Kenyataan Mufti Perak


ULASAN DEWAN ULAMAK PAS NEGERI PERAK MENGENAI KENYATAAN TAN SRI DATO’ SERI HAJI HARUSSANI ZAKARIA, MUFTI KERAJAAN NEGERI PERAK BERDASARKAN BERITA HARIAN, ISNIN, 14 MEI 2012 / 22 JAMADIL AKHIR 1433H

Dewan Ulamak Negeri Perak ingin memberikan ulasan mengenai kenyataan Tan Sri Dato’ Seri Haji Harussani Zakaria, Mufti Kerajaan Negeri Perak yang disiarkan dalam Berita Harian, Isnin, 14 Mei 2012H / 22 Jamadilakhir 1433H. Walaupun menyedari bahawa terdapat kemungkinan sebahagian daripada yang disiarkan mungkin tidak sebagaimana yang diucapkan sebagaimana kenyataan-kenyataan beliau yang terdahulu namun bagi pihak PAS Perak amat perlu menjelaskan bebarapa perkara yang mungkin akan mengelirukan Umat Islam yang tidak memahami hakikat yang sebenar.

Kenyataan beliau yang mengatakan bahawa Perjuangan PAS kini sudah menyeleweng daripada matlamat asal serta menyalahgunakan Agama Islam demi kuasa dan kerusi politik adalah merupakan tuduhan melulu jika tidak diasaskan kepada kajian dan pembuktian yang lengkap. Adakah beliau benar-benar memahami matlamat asal PAS dan sudut manakah yang sudah diselewengkan. Adakah beliau merasakan PAS melakukan sesuatu sesuka hati sedangkan Pas dikawal oleh Majlis Syura Ulama yang dianggotai oleh para ulamak yang berwibawa dan setaraf dengan barisan para mufti di negara ini.

Saranan agar Majlis Fatwa Kebangsaan membincangkan kewajaran parti itu menggunakan perkataan Islam dalam nama parti adalah merupakan satu saranan yang hanya akan membuktikan Majlis tersebut hanya mengikut telunjuk UMNO. Ini kerana bukan hanya PAS sahaja yang menggunakan nama Islam di negara ini. Apakah badan-badan lain termasuk Jabatan Kemajuan Islam dan Jabatan Agama Islam wajar menggunakan perkataan Islam sedangkan sebahagian daripada tindakan agensi kerajaan ini juga tidak terlepas daripada kesilapan dan dikritik oleh cendiakawan Islam sehingga menjejaskan nama baik Islam. Kenapa tidak beliau menyarankan agar tindakan ini dimulakan dengan badan seperti Sister In Islam yang dengan jelas dianggap oleh beliau selama ini sebagai memusuhi Islam.

Gesaan beliau “kepada ahli dan penyokong PAS, khususnya yang fanatik dan taksub segera kembali kepada ajaran Islam sebenar dan berfikiran waras” tidak mencerminkan keadaan yang sebenar. Apakah salah bagi seseorang individu Muslim fanatik dan taksub kepada perjuangan menegakkan Syariat Islam keran itulah sebenarnya ajaran Islam. Bukankah semua Muslim diperintahkan agar menerima Islam sepenuhnya termasuk perlaksanaan Undang-Undang Jenayah Islam sebagaimana yang diperjuangkan oleh Islam. Bukankah lebih wajar beliau menggesa ahli dan penyokong UMNO yang berterusan mentaati pemimpin mereka yang berterusan mencari alasan untuk tidak melaksanakan ajaran islam sepenuhnya.

Dewan Ulamak PAS tidak bersetuju dengan dakwaan beliau bahawa perpecahan Umat Islam adalah disebabkan oleh sifat dengki, tamak, mengejar pangkat dan kedudukan di kalangan pemimpin parti politik yang kononnya memperjuangkan Islam. Perpecahan Umat Islam sebenarnya adalah disebabkan sebahagian daripada mereka yang mengaku sebagai Islam tetapi tidak mahu patuh sepenuhnya dengan Syariat Islam. Mana mungkin kita mahu mengajak para pejuang Islam meninggalkan Syariat Islam semata-mata untuk menyatukan umat.

Keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan yang mengharamkan Himpunan Bersih 3.0, adalah amat jelas dibuat sebelah mata kerana tidak ada seorangpun wakil penganjur yang diambil keterangan mengenainya. Kerosakan harta benda dan kecederaan orang ramai boleh dielakkan jika pihak berkuasa melaksanakan tanggungjawab mereka bagi mengawal keadaan, bukan menambahkan provokasi sehingga menimbulkan suasana tegang. Apakah beliau yakin terdapat niat di pihak penganjur untuk menjatuhkan kerajaan.

Dalam Islam ulamak juga berselisih pandangan mengenai hukum menjatuhkan kerajaan yang sah walaupun kerajaan diperintah oleh pemimpin Islam yanmg fasik selagi pemerintah menjaga kebajikan umat Islam. Apakah beliau begitu pasti pemerintah negara ini benar-benar menjaga kebajikan Umat Islam ataupun hanya menjaga kebajikan Umat Islam yang menjadi penyokong tegar mereka semata-mata. Peserta Bersih 3.0 yang hanya datang berbekalkan garam dan tuala kecil amat jauh untuk diistilahkan sebagai “ bughah atau pemberontakan melampau yang menghancurkan negara, sekaligus membolehkan pemberontak dihukum bunuh” kerana ulamak mensyaratkan bagi kes Bughah yang boleh di hukum bunuh mestilah pemberontakan tersebut mempunyai kekuatan dan bersenjata.

Oleh yang demikian, Dewan Ulamak PAS Negeri Perak menasihatkan agar Tan Sri Dato’ Seri Haji Harussani Zakaria kembali kepada fungsi dan peranan beliau yang asal sebagai Mufti yang bertanggungjawab menasihati kerajaan agar tunduk kepada kehendak Allah. Oleh kerana beliau tidak memahami situasi politik semasa yang begitu mencabar, beliau perlu mengurangkan ulasan berkaitan politik yang hanya memberi ruang kepada musuh-musuh Islam untuk menyalahgunakan kenyataan beliau. Jika beliau terus dengan sikap berat sebelah seperti ini maka kepercayaan Umat Islam terhadap beliau akan beransur terhakis dan kegemilangan beliau sebagaimana dahulu yang dihormati sebagai seorang ulamak yang berani dan bijaksana tidak akan dapat dikembalikan buat selama-lamanya.

Ustaz Ibrahim Zakaria

(Naib Ketua Dewan Ulama' PAS Perak)

Friday, 18 May 2012

PAS Sedia Ganti UMNO Untuk Memimpin Orang Melayu


Umno telah terbukti gagal memimpin dan membela nasib orang melayu di Negara ini, tegas Pesuruhjaya PAS Perak Ustaz Abu Bakar Hussian.

Menurut beliau, Orang melayu telah memberikan amanah kepada umno sejak 55 tahun untuk memperjuangkan hak orang melayu, dan jelas umno telah gagal serta tidak mampu memberikan corak kepimpinan yang boleh disanjungi dan diteladani untuk dijadikan kebanggaan orang melayu.

Beliau menjelaskan lagi, kini sudah tiba masanya kepimpinan orang melayu ditukar ganti dengan PAS dan KeADILan dalam memperjuangkan hak orang melayu bagi mengekalkan corak kepimpinan yang bersih dan amanah.

Beliau juga menyatakan bahawa rakyat di Kelantan telah membuktikan mereka boleh hidup tanpa umno.Orang Kelantan telah hidup tanpa kepimpinan umno sejak tahun 1990 lagi, kita telah lihat bahawa hak dan kedudukan orang melayu tidak terjejas walaupun sedikit.

“ Maka mitos bahawa umno lenyap melayu akan terjejas adalah cerita karut yang terbukti tidak benar” ujarnya lagi.

Tambahnya, kepimpinan baru kerajaan negeri Pakatan Rakyat selama empat tahun di Kedah, Selangor, Pulau Pinang, Perak selama 11 bulan adalah bukti bahawa melayu boleh hidup tanpa umno

Isu Tuduhan Kafir, Majlis Fatwa Tidak Wajar Berdiam Diri - PAS PERAK


Menuduh seorang yang Islam sebagai kafir, bermakna kekafiran itu akan terkena pada dirinya sendiri. Perkara ini telah dijelaskan oleh Nabi Muhammad SAW sendiri.

Saya sebagai Pesuruhjaya PAS Perak sangat kesal dengan kenyataan Tan Sri Rahim Noor, bekas ketua polis Negara, dan kesal dengan media-media yang menyiarkan kenyataan melampau tersebut.

Selama ini, kita melihat beberapa kenyataan menghina Islam, undang-undang Islam dan para ulama’ sudah bermain di lidah-lidah pimpinan UMNO dan Barisan Nasional sendiri. Ada di antara mereka yang mempermainkan hudud, menghina Islam dan mengeluarkan fatwa-fatwa yang sesat. Apa yang kita kesali, kenyataan mereka ini disiarkan oleh media dan disebarkan kepada masyarakat umum.

Antara yang terbaru, PAS telah dianggap sebagai parti ajaran sesat. Terbaru, menuduh pula Mursyidul Am PAS sebagai “Bapa Kafir”. Persoalannya, kenapakah kenyataan seperti ini pula yang disiarkan oleh media, dan ke manakah perginya Majlis Fatwa Kebangsaan yang mengharamkan Perhimpunan Bersih 3.0?

Apabila kita mengkaji sirah para nabi AS, ada dari kalangan mereka yang dituduh sebagai gila, ahli sihir dan jahat. Nabi Muhammad SAW sendiri dituduh cuba menyesatkan masyarakat Mekah dengan ajaran-ajaran yang baru.

Kerajaan banyak melakukan kemungkaran seperti rasuah, menipu dalam pilihanraya, kronisme dan banyak lagi. Mereka juga menggunakan unsur-unsur hiburan haram untuk meraih undi. Adakah kita hanya sekadar berdiam diri? Tuduhan melulu Tan Sri Rahim Nor juga sepatutnya diambil tindakan yang sewajarnya, bukan hanya berdiam diri.

Justeru rakyat Malaysia perlu sedar, bahawa kewajipan mereka untuk menukar kerajaan yang zalim seperti ini. Rakyat perlu sedar bahawa mencegah kemungkaran itu satu kewajipan yang disuruh oleh Islam. Rakyat perlu sedar bahawa mereka wajib untuk memperjuangkan keadilan, dan menghapuskan kezaliman.

Ustaz Abu Bakar Hussain
(Pesuruhjaya PAS Perak)

Monday, 7 May 2012

Penjelasan Pesuruhjaya PAS Perak Terhadap Majlis Fatwa Kebangsaan


Bagi saya ulasan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan perlukan beberapa perincian bagi mengelakkan fitnah dan tuduhan melulu.

Mereka memutuskan bahawa haram untuk umat Islam menyertai perhimpunan atau demonstrasi yang bertujuan tidak baik, melanggar undang-undang serta mencetuskan huru-hara dan kekacauan dalam negara. Keputusan ini dibuat selepas Perhimpunan Bersih 3.0 baru-baru ini.

Saya sebagai Pesuruhjaya PAS Perak ingin menjelaskan bahawa menyertai Bersih 3.0 tidaklah diharamkan kerana :

a. Bertujuan yang baik, iaitu mencari keadilan dan demokrasi yang telus. Ia disebabkan penyelewengan yang dilakukan oleh SPR dan pihak kerajaan.

b. Tidak melanggar undang-undang, antaranya peserta tidak memasuki kawasan larangan berhimpun dan sebagainya.

c. Tidak mencetuskan huru hara, sebaliknya yang mencetuskan huru hara tersebut adalah pihak polis yang menyerang, menangkap dan memukul peserta Bersih 3.0 tanpa sebarang sebab.

Maka, berdasarkan keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan, sepatutnya Perhimpunan Bersih 3.0 tidak sepatutnya dianggap sebagai haram.

Mereka menyatakan lagi bahawa tindakan merusuh, membawa kacau bilau dan merosakkan harta benda awam adalah suatu perbuatan yang ditegah Islam. Malah niat untuk menjatuhkan negara yang sah di sisi undang-undang melalui penganjuran demonstrasi seumpama itu juga haram di sisi agama.

Mereka juga menyatakan bahawa sesiapa juga tidak boleh buat, tidak boleh bersetuju ke arah usaha mendatangkan kemudaratan, keresahan, menjadikan rusuhan sesama kita hingga berpecah, apatah lagi kalau berlaku pertumpahan darah.

Kenyataan mereka ini sepatutnya dituju kepada pihak polis yang membelasah peserta Bersih 3.0, dan pihak-pihak yang menghantar SB untuk menimbulkan provokasi. Sepatutnya Majlis Fatwa Kebangsaan perlu mengatakan “haram” terhadap tindakan kasar polis dan pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab menghantar SB, bukan kepada mereka yang ingin menuntut keadilan dan ketelusan dengan cara “duduk dan bantah”.

Seterusnya Prof Emeritus Tan Sri Dr Abdul Shukor Husin, Pengerusi Majlis Fatwa Kebangsaan menyatakan lagi bahawa larangan menunjukkan sokongan dan simpati kepada mereka yang menyokong LGBT. Sepatutnya mereka perlu faham bahawa kerajaan juga pernah meluluskan Konsert Adam Lambert, yang membawa ikon gay pada 14 Oktober 2010. Kenapakah Majlis Fatwa Kebangsaan tidak tegas dan lantang dalam isu ini? Sebaliknya, apabila timbul isu dalam Pakatan Rakyat, mereka timbul untuk mengulas isu ini.

Kita perlu faham, PAS tidak pernah menyokong hubungan sejenis, bahkan PAS membantah Konsert Adam Lambert yang mengetengahkan seorang ikon gay. Dalam isu Bersih 3.0, PAS menyokong tuntutan supaya telus dan adil dalam pilihanraya. Perkara ini perlu difahami oleh Majlis Fatwa Kebangsaan, supaya tidak mengeluarkan fatwa membuta tuli tanpa memahami realiti.

Saya harap, pihak Majlis Fatwa Kebangsaan perlu bertaqwa kepada Allah sebelum mengeluarkan sebarang hukum. Kalian akan dihadapkan di hadapan Allah yang berkuasa menentukan hukum haram atau halal.

Ustaz Abu Bakar Hussian

( Pesuruhjaya PAS Perak )

Sunday, 6 May 2012

Konvensyen PAS Perak ke 16


IPOH, Pesuruhjaya PAS Perak, Ustaz Abu Bakar Hussian menyatakan bahawa Konvensyen PAS Perak kali ke-16 yang bakal diadakan pada 6 Mei ahad ini di Hotel Hill City mempunyai objektif yang tinggi bagi mengumpulkan seluruh saff kepimpinan PAS Perak di setiap peringkat, konvensyen ini penting bagi menyatukan fikiran dan menyelaraskan tindakan kepada wehdatul fikri dan wehdatul amal.Selain itu, konvensyen ini juga bertujuan meningkatkan tahap persediaan para pemimpin dan ahli untuk menghadapi Pilihanraya Umum ke 13. 

Beliau menyatakan bahawa, program ini bakal disertai oleh semua Ahli Jawatankuasa Badan Perhubungan PAS Perak, Ahli Dewan Ulama’, Ahli Dewan Pemuda, Ahli Dewan Muslimat, Ahli Dewan Himpunan Penyokong dan Ahli Jawatankuasa PAS Kawasan 

Memetik ucapan beliau, “ PAS Perak menganjurkan program seperti ini kerana ia merupakan salah satu siri-siri pentarbiyahan PAS dengan menggunakan konsep Nadwah. Para pimpinan dan ahli perlu mempunyai kefahaman dan fikrah terhadap kemenangan. PAS Perak tidak mahu ahlinya memperolehi kemenangan dengan fikrah dan kefahaman yang kosong. Sebaliknya memahami konsep kemenangan dan bersabar dengan ujian kemenangan, bagi memastikan keutuhan pemerintahan Islam selepas PRU 13 nanti” 

“Sebagai seorang ahli gerakan Islam, kita perlu bersikap optimis dengan Allah dan bantuanNya. Kita tidak boleh pandang serong terhadap ujian kesusahan yang diberikanNya dan tidak boleh juga kita gelap mata apabila diuji dengan kesenangan. Istilah kemenangan yang perlu difahami oleh ahli PAS ialah kemenangan yang diredhai oleh Allah. Begitu juga dengan kekalahan, iaitu kekalahan yang diredhai olehNya. PAS tidak ingin untuk mencapai kemenangan dengan cara penipuan seperti yang dilakukan oleh Barisan Nasional, khususnya isu rampasan kuasa di Perak ini. PAS juga tidak ingin berhadapan dengan kekalahan yang tidak diredhai olehNya. Maka Konvensyen PAS Perak 16 ini mengajar erti kemenangan dalam redha Allah” 

 Sempena Konvensyen PAS Perak kali ke16 ini, PAS Perak telah menjemput wakil PAS Pusat, iaitu Dato Tuan Ibrahim bin Tuan Man, Ketua Penerangan PAS Pusat, yang akan menyampaikan kalam semangat kepada pekerja-pekerja Islam, pembentangan bertajuk Menangani dan Mempertahan Kemenangan oleh YB Mohd Zaki bin Ibrahim, ADUN Kelaboran Kelantan dan sesi perbahasan setiap perwakilan beserta sesi soal jawab, jelas beliau.

Thursday, 26 April 2012

Isu Sure Heboh, Kerajaan BN Perak Khianati Nasihat Mufti


Ipoh, 26 April, Pesuruhjaya PAS Perak, Ustaz Abu Bakar Hussian menyatakan bahawa PAS Perak kesal dengan kerajaan Barisan Nasional Perak yang membenarkan penganjuran Sure Heboh yang telah difatwakan haram oleh Mufti Negeri Perak sendiri pada tahun 2004. Pesuruhjaya PAS Perak itu menyatakan bahawa, sebelum ini Mufti Negeri Perak, mengatakan bahawa Sure Heboh adalah haram kerana mengajak kepada maksiat, beliau menyatakan demikian selepas Muzakarah Ulama 2004, Sempena Keputeraan Sultan Perak ke 76. 

Sehubungan dengan itu, kita perlu fahami bahawa unsur yang mengajak kepada kemungkaran atau maksiat merupakan perkara yang melanggari dasar maqasid syariah (tujuan pensyariatan) iaitu, ia merosakkan agama, dan berkemungkinan merosakkan maruah. Huraian perkara ini telah diterangkan di dalam Siyasah Syar'iyyah karangan Dr Yusof al Qaradhawi dan lain-lain, jelas Ustaz Abu Bakar Hussian. 

Memetik kata-kata beliau, “Di dalam Min Fiqhil Aulawiyat karangan Dr Majdi Hilali menerangkan bahawa unsur-unsur yang melanggari maqasid syariah ini merupakan keutamaan (priority) yang tinggi. Iaitu, keutamaannya dicegah atau dihentikan adalah antara keutamaan yang tinggi” 

“Di dalam kitab Tayyarat Fikriah Muasarah karangan Dr Taha Hubaisyi (pensyarah Universiiti Al Azhar) mengatakan bahawa unsur hiburan yang merosakkan muda mudi merupakan salah satu daripada senjata Zionisme bagi menghancurkan umat Islam, dan serangan ini dinamakan Hedonisme”

“ Di dalam Mu'jam Falsafi cetakan Pustaka Madbuli, Kaherah, telah menerangkan tentang Hedonisme, yang memperkenalkan hiburan, atau keseronokan yang total kepada individu. Sehinggakan mereka akan jauh daripada pegangan agama mereka, dan hubungan mereka terhadap masyarakat dan keluarga akan rosak” 

Jadi, pihak pimpinan Barisan Nasional perlu tahu bahawa dengan penganjuran aktiviti maksiat seperti ini akan mengundang maksiat dan merosakkan institusi kekeluargaan, bahkan akan menjauhkan anak muda daripada tanggungjawab mereka yang bakal menjadi tunggak Negara, tegas beliau.

Monday, 23 April 2012

PAS Perak Seru Rakyat Sertai Bersih 3.0


IPOH, 23 April, Pesuruhajaya PAS Perak Ustaz Abu Bakar Hussian menyatakan bahawa Bersih 3.0 adalah antara salah satu kaedah yang boleh dilakukan rakyat untuk mencegah kemungkaran yang dilakukan oleh pimpinan sesebuah negara. 

Menurut beliau, Bersih 3.0 adalah kaedah untuk menolak kezaliman seperti penipuan dan penyelewengan dalam pilihanraya, kerana pilihanraya ataupun kerusi parlimen adalah kaedah kedua bagi mencegah kemungkaran yang dilakukan oleh pimpinan negara. 

Beliau menegaskan bahawa, keperluan menyertai bersih 3.0 adalah keperluan yang bersifat realiti (waqie) berdasarkan beberapa perkara berikut : 

a. Malaysia hari ini masih boleh menjadikan kerusi parlimen untuk mencegah kemungkaran pemimpin. 

b. Dalam pemilihan kerusi parlimen terdapat beberapa pembohongan, dan cara mengatasi pembohongan ini dengan mengadakah Bersih 3.0, iaitu bantahan secara aman 

c. Walaupun beberapa pendedahan telah dibuat, namun penipuan dalam pilihanraya agak sukar untuk diselesaikan, melainkan dengan menganjurkan Bersih 3.0. 

Selain itu beliau juga menyatakan bahawa mencegah kemungkaran adalah kemestian (kewajipan), dan apa sahaja yang tidak sempurna satu kewajipan melainkan dengannya, maka ia juga adalah wajib. Maka, tiada cara lain yang lebih berkesan untuk mencegah kemungkaran dalam pilihanraya dan kemungkaran di peringkat pimpinan melainkan dengan mengadakan Bersih 3.0. Sebab itulah ia merupakan perkara yang perlu dan mesti, tegas beliau.

Dewan Muslimat PAS Pusat

Dewan Ulamak PAS Pusat

Dewan Pemuda Pas Pusat

 
Ustaz Abu Bakar Hussain. Design by Wpthemedesigner. Converted To Blogger Template By Anshul Tested by Blogger Templates.